Nasional

ADUN Gadek mengaku tidak bersalah beri sokongan kepada LTTE

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi Facebook.

G. Saminathan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

“Minta dibicarakan,” kata Saminathan selepas Hakim Muhammad Jamil bertanya sama ada dia mengaku bersalah ataupun minta dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Dia didakwa telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama “Gsami Nathan Siva“ di Pejabat Pegawai, Bahagian E8 (M) Cawangan Khas, Bukit Aman di sini pada 9.30 malam, 8 Okt 2019.

Saminathan dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Abu Hanipah memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh mempunyai kes lain berkaitan LTTE di Mahkamah Tinggi berasingan.

“Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 11 Feb untuk sebutan kes, sehubungan itu saya memohon tarikh sama di mahkamah ini.

“Dalam masa sama, pihak pendakwaan akan membuat permohonan untuk menentukan mahkamah mana yang akan mendengar kes ini,”katanya.

Hakim Muhammad Jamil menetapkan 11 Feb untuk sebutan kes Saminathan yang diwakili peguam Harshaan Zamani.

Pada 20 Jan lepas Saminathan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki item dan memberi sokongan berkaitan kumpulan pengganas LTTE selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Dia dituduh memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov, 2018 dan satu pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas itu di dalam sebuah telefon bimbit di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di Melaka, pada 10.25 pagi, 10 Okt 2019. – BERNAMA

(Visited 87 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button