NasionalPolitik

Muafakat Nasional memperkasa roh Maal Hijrah

Ibarat Telur Sesangkak, Pecah Sebiji, Pecah Semua

AGAK lama juga Peguam Muda Kampung (PMK) tidak mencoret untuk SUARA MERDEKA. PMK sibuk dengan urusan. Maklumlah, kes-kes kampung sejak kebelakangan ini sama banyak dengan kes yang dibicarakan di bandar. Kes korek nak buat titi pun banyak kat kampung. Tapi tak segah kes terowong.

Esok ialah Maal Hijrah. Tahun 1441 Hijrah akan meninggalkan kita dan tahun baharu 1442 Hijrah pula bakal menjelma.  Muafakat Nasional yang diasaskan oleh UMNO dan PAS juga hampir memasuki umur setahun. Dalam hal ini PMK teringat dengan bait-bait nasyid yang selalu didendangkan apabila tibanya 1 Muharram setiap tahun.

Satu Muharram Detik Permulaan

Perkiraan Tahun Islam Hijrah

Perpindahan Nabi dan Umat Islam

Dari Kota Mekah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh

Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu

Rela Berkorban Harta dan Nyawa

Demi Menegakkan Islam Tercinta


Hijrah Itu Pengorbanan

Hijrah Itu Perjuangan

Hijrah Itu Persaudaraan

Hijrah Membentuk Perpaduan

 

Terjemahan kepada roh Maal Hijrah adalah apabila Piagam Muafakat Nasional dimeterai pada 14 September 2019.

Pembentukan Muafakat Nasional yang terhasil daripada gabungan dua parti terbesar yang mewakili orang Melayu dan Bumiputera di negara ini merupakan rahmat yang sekian lama didambakan oleh rakyat negara ini.

Ramai tokoh, pemerhati politik, pejuang dan aktivis di peringkat bawahan masih seakan-akan tidak percaya dengan Ta’awun dan Ta’ayush yang dipelopori oleh kepimpinan UMNO dan PAS ini.

Hakikat kerjasama politik ini akan menjadi game changer kepada kepimpinan negara pada masa akan datang dan ia mendatangkan kerisauan kepada Pakatan Harapan (PH) atau apa sahaja Pakatan baru untuk terus bertahan. Dan mereka perlu mencipta naratif baharu politik untuk kelangsungan parti masing-masing.

Politik fitnah, balas dendam, pluralisme, liberalisme dan sekularisme jelas tidak relevan dalam konteks Malaysia yang didominasi 60% penduduk beragama Islam yang berfahaman fundamentalis dan progresif ini.

Kerendahan hati serta kebijaksanaan kepimpinan UMNO dan PAS berjaya mengatasi segala egoistik partai yang diselimuti dengan segala disiplin, tanzim dan falsafah yang telah sebati dengan perjuangan masing-masing.

Jika falsafah penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar dijadikan inspirasi, telah tiba masanya kepimpinan UMNO dan PAS mendedahkan KEAKRABAN & KEIKHLASAN ini ke peringkat bawahan melalui program-program engagement kedua-dua parti supaya lebih serasi semasa pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dalam kita mensyukuri kewujudan Muafakat Nasional yang seperti satu pasangan yang baru diijabkabulkan, kepimpinan kedua-dua parti iaitu UMNO dan PAS perlu istiqamah dengan disiplin perundingan dan muafakat sebelum sesuatu kenyataan atau keputusan dihebahkan.

Fasa-fasa awal penyatuan ini memerlukan kepimpinan lebih sensitif dan perlu cepat mengenal pasti apa yang disukai dan tidak disukai pasangan masing-masing. Cabaran terbesar adalah apabila perasaan egoistik lama kembali bernafas tanpa disedari.

Seperti kata pepatah “Ibarat Telur Sesangkak, Pecah Sebiji, Pecah Semua”. Oleh kerana satu kenyataan yang mengguris hati, keseluruhan hasil boleh terungkai kembali. Janganlah kita mengecewakan harapan dan kegembiraan umat Islam di dalam negara ini setelah melihat Muafakat Nasional terbentuk.

Membina bangunan itu sukar dan mengambil masa yang lama; merobohkannya pula hanya sekelip mata tetapi pedihnya akan diingat sampai bila-bila.

Maka jagalah Muafakat ini dan perkasakanlah ia kerana harapan rakyat di waktu ini terlalu tinggi kepada Muafakat Nasional untuk membawa negara berhijrah ke arah yang lebih baik. – SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button