Politik

Isu calon PM tidak relevan, Izzah fokus kukuh jentera PKR

AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar beranggapan isu calon Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan tidak relevan kepada beliau.

Anak kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu menegaskan, dia memberi fokus kepada tugas hakiki untuk memperkuatkan jentera PKR.

Izzah yang telah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR pada Disember 2018 berkata, isu berkaitan calon perdana menteri PH biar dijawab oleh politikus lain.

“Pada saya itu tidak relevan kerana saya kembali ke tugasan hakiki kita untuk memperkukuhkan jentera parti.

“Maka yang lain itu biarlah politikus yang lain melayan masalah sedemikian,” kata Izzah.

Izzah menjawab soalan wartawan ketika diminta mengulas berhubung isu calon perdana menteri dalam PH Plus antara Anwar yang juga Presiden PKR dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau ditemui pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor selepas menghadiri program Regenarasi Wanita dan pengumuman keanggotaan PKR.

Ketika ini Pakatan Harapan masih belum mencapai persetujuan calon perdana menteri bagi gabungan kerjasama politik itu.

Sebelum ini PKR tetap mahukan Anwar menjadi calon perdana menteri selepas Amanah dan DAP meminta agar Tun Dr. Mahathir Mohamad diberi peluang untuk dilantik semula dalam tempoh enam bulan sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengambil-alih kerajaan.

Nama Shafie sebagai calon perdana menteri tiba-tiba muncul sebagai pilihan penyelesaian berhubung isu tersebut.-SM

 

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button