NasionalParlimen

PM arahkan Wisma Putra guna bahasa Melayu termasuk nota percakapan dan dokumen

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menyediakan nota percakapan dan dokumen berkaitan dalam bahasa Melayu sebagai rujukan beliau apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

Beliau berkata, arahah itu sebagai langkah awal dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

“Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 7 Disember 2021 iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia,” jelas Ismail Sabri.

Beliau memberikan pencerahan seperti di atas sebagai menjawab soalan lisan Datuk Isa Ab. Hamid yang meminta Perdana Menteri menyatakan usaha Kerajaan dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara dan hubungan antarabangsa.

Menggunakan pendekatan serampang dua mata, jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, sekaligus menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Vell Paari a/l Tun Samy Vellu kerana pertanyaan-pertanyaan tersebut menyentuh isu yang sama iaitu mengenai usaha Kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik negara.

Ismail Sabri berkata, beliau sendiri telah menggunakan bahasa Melayu semasa lawatan rasminya ke Republik Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand baru-baru ini.

Bahkan semasa lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri ke Vietnam dua hari lepas, beliau juga menggunakan bahasa Melayu.

“Ini adalah seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa,” ujar Ismail Sabri di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, usaha ini akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan atau mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala, di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian.

Ismail Sabri turut memaklumkan Kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (DBP) sebagai langkah memartabatkan Bahasa Melayu.

Ini kata Ismail Sabri, sekaligus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Pindaan ini akan membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada Daerah, Negeri mahupun Persekutuan.

“Saya dapati, Akta DBP yang ada ketika ini tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa Melayu,” jelasnya.

Untuk rekod, bahasa Melayu mempunyai keunikan dan kelebihannya tersendiri, khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

Selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, kata Ismail Sabri lagi

Pada masa ini, hanya empat daripada 10 negara ASEAN yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa.

Manakala enam negara lagi menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam urusan rasmi dan perlu diterjemahkan.

Ismail Sabri berkata, beliau yakin suatu hari nanti, bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN dan perkara ini mungkin boleh dibincangkan dengan pemimpin ASEAN pada masa hadapan. – SM

(Visited 407 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button