JenayahNasional

Bayi maut disyaki didera rakan lelaki ibu

SEORANG bayi lelaki berusia setahun lima bulan maut dipercayai didera rakan lelaki ibunya dalam kejadian di Besut, Terengganu, semalam.

Ketua Polis Besut, Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati bayi berkenaan telah diserahkan ibunya yang berusia 27 tahun kepada suspek pada Selasa lalu untuk dijaga pada kira-kira jam 4 petang.

“Mangsa kemudian dihantar semula kepada ibunya pada jam 7.30 pagi semalam. Walau bagaimanapun  bayi itu dalam keadaan tidak sedarkan diri selain mempunyai kesan lebam di beberapa anggota badan,” katanya dalam kenyataan.

Rozal berkata, bayi tersebut disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kampung Raja, Besut.

Hasil bedah siasat awal di Hospital Sultanah Nur Zahirah mendapati terdapat kebocoran pada usus kecil mangsa yang dipercayai menyebabkan kematian bayi malang itu.

Beliau berkata, punca kebocoran itu masih belum dikenal pasti sama ada ia disebabkan oleh trauma atau jangkitan kuman dan sampel telah dihantar ke makmal bagi tujuan pengesahan.

“Sehubungan itu, polis menahan ibu mangsa yang merupakan ibu tunggal bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan akan direman hari ini. Polis kini sedang memburu suspek lelaki itu yang masih bebas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau keberadaan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohd Faiz Che Mamat di talian 014-6329916 atau ibu pejabat polis daerah Besut di talian 09-6956222,” katanya. – SM

(Visited 34 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button