Acara

Istiadat Penuh Penghormatan Sempena Persaraan Ketua Polis Negara ke-14

SUBANG JAYA, 21 Jun 2025 – Satu majlis istiadat penuh penghormatan telah diadakan malam tadi bagi meraikan persaraan Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain, di Hotel Sunway Resort, Subang Jaya. Majlis yang membawa tema “Legasi Kepimpinan, Inspirasi Sepanjang Zaman” disifatkan sebagai penghargaan tertinggi terhadap sumbangan luar biasa beliau selama hampir 43 tahun dalam perkhidmatan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail, selaku Yang Dipertua Mes PDRM, bersama isteri, Datin Sri Hjh. Munirah Che Rose, yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia.

Dalam ucapan penghargaan, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menggambarkan Tan Sri Razarudin sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, tegas dalam prinsip serta komited mendekati anggota dan pegawai di semua peringkat.

“Tan Sri Razarudin bukan jenis memerintah dari kerusi empuk. Beliau turun padang, menyelami denyut nadi warga Pasukan, dan sentiasa hadir bersama-sama anak buah dalam waktu sukar dan senang,” ujar beliau.

Selain kecemerlangan dalam kepimpinan, Tan Sri Razarudin juga dikenali atas pencapaian dalam arena sukan berkuda, yang mengharumkan nama PDRM di pentas sukan berpestij peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Majlis turut diserikan dengan tayangan dua buah video menyentuh hati yang memaparkan perjalanan hidup Tan Sri Razarudin, daripada seorang anak anggota polis sehingga berjaya menjawat jawatan tertinggi dalam pasukan keselamatan negara.

Turut hadir memeriahkan acara ialah barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Ketua Polis Negeri, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak, serta pesara-pesara PDRM dan ahli keluarga Tan Sri Razarudin.

Acara bersejarah ini diselaraskan oleh Jawatankuasa Mes Pegawai Kanan PDRM dengan sentuhan penuh istiadat dan simbolik, mencerminkan penghormatan tertinggi warga Pasukan kepada seorang pemimpin yang telah meninggalkan legasi yang akan terus dikenang sepanjang zaman.

Dipetik dari FB PDRM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button