BeritaPendidikan

Istiadat konvokesyen UniMAP melabuh tirai semalam

Istiadat Konvokesyen 15 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra selama empat hari bermula 5 Mac 2022 baru-baru ini melabuhkan tirainya pada petang semalam.

Sidang ke-8 dan terakhir pada kali ini disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Seramai 281 orang graduan lagi menerima anugerah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) bagi Sistem Elektronik, Rekabentuk Telekomunikasi Elektronik, Rekabentuk Rangkaian Elektronik dan Flektronik Bersepadu daripada Tuanku Raja Puan Muda. Turut menerima anugerah masing-masing daripada baginda adalah para penerima Diploma Kejuruteraan bagi jurusan Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Metalurgi, Kejuruteraan Mikroelektronik dan Kejuruteraan Komputer.

Dalam ucapan beliau, Naib Canselor, Prof Ts Dr Zaliman Sauli memaklumkan bahawa pada kali ini, sebanyak 8 sidang diistiadatkan bagi menyampaikan ijazah kepada 2763 orang siswazah, termasuklah 107 siswazah antarabangsa. Dalam sidang pertama, selain penerima Ijazah Kehormat, UniMAP turut menganugerahkan 4 Anugerah Khas, iaitu Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Naib Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Siswazah.

Turut diberi penghormatan ialah 60 orang siswazah Ijazah Doktor Falsafah dan 117 orang siswazah Ijazah Sarjana yang mana 42 dari mereka adalah pelajar antarabangsa. Mereka semua menerima skrol masing-masing daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor pada sidang yang pertama.

Jumlah keseluruhan siswazah peringkat pascasiswazah yang dilahirkan semenjak Istiadat Konvokesyen Kali Pertama adalah seramai 1777 orang.

Naib Canselor juga mempersembahkan ucapan setinggi menjunjung kasih kepada Tuanku Canselor dan Tuanku Pro Canselor yang merupakan dua insan yang tidak putus-putus berdoa dan bertanyakan serta amat mengambil berat tentang kebajikan dan perkembangan para mahasiswa UniMAP dan berdoa semoga baginda berdua seisi keluarga diberkati dan dilimpahi rahmat Allah swt selalu.

Untuk rekod, sehingga hari ini, sebanyak 98.3% graduan UniMAP telah berjaya menceburi bidang pekerjaan sama ada bekerja di sektor swasta, kerajaan, atau bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan. Selain itu, ada juga yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau meningkatkan kemahiran.

(Visited 574 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button