
“Isteri Saya Buat Konten Je” – Suami Kieda Crepe Tampil Perjelas Isu Herpes
SUAMI kepada usahawan terkenal, Kieda Crepe, iaitu Hilmi Zaki akhirnya tampil mengulas mengenai gurauan isterinya berkaitan jangkitan herpes yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi dan perdebatan hangat di media sosial.
Menurut Hilmi, kenyataan yang dikeluarkan oleh isterinya, Siti Nur Khalieda Yusra Mohd Jais, hanyalah sebahagian daripada kandungan hiburan dan tidak wajar dijadikan isu serius.
“Bertenanglah, isteri aku yang buat, kenapa kamu semua gelabah sangat?
Content sekadar hiburan, bukan realiti. Sekarang dah tahun 2025. Apa pun caption yang aku letak, itu urusan aku. Bukan buat salah pun,” jelas Hilmi dalam satu komen balas di media sosial.
Hilmi memberikan kenyataan itu selepas seorang pengguna media sosial memintanya agar menasihati isterinya secara peribadi, bukannya membiarkan netizen mengkritik secara terbuka.
Tambah Hilmi lagi, sebagai pasangan suami isteri, mereka sudah biasa bergurau secara spontan dan terbuka. Namun beliau tidak menyangka gurauan seperti itu boleh mengundang kecaman melampau daripada warganet.
“Kami memang suka bergurau kasar, itu cara kami. Tapi bila benda tu diviralkan, ramai pula cepat buat andaian dan menghukum tanpa memahami konteks sebenar.”
Sebelum ini, Kieda Crepe mencuri perhatian selepas memuat naik video bergurau tentang dirinya dijangkiti herpes akibat dicium oleh suami. Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk teguran daripada pengarah dan selebriti, Michael Ang, yang menyelar tindakan tersebut sebagai tidak sensitif.