
Isteri Haqiem Rusli dan Kak KM Akhirnya Bertemu,’Kalau Cakap Adik-Beradik Pun Orang Percaya’
PERTEMUAN antara Anis Sofea, isteri kepada penyanyi terkenal Haqiem Rusli, dan usahawan serta personaliti media sosial sensasi, Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM, menjadi bualan hangat netizen baru-baru ini.
Menerusi video yang tular di TikTok, kedua-dua wanita itu dilihat berseloroh mengenai wajah mereka yang dikatakan seiras. Malah, Kak KM turut meluahkan keterujaan akhirnya dapat bertemu Anis setelah sekian lama menerima komen daripada orang ramai yang menyamakan wajah mereka berdua.
“Ramai sangat kata muka kita sama, jadi saya memang nak sangat jumpa,” kata Kak KM dalam nada bergurau.
Netizen nyata terhibur dengan interaksi mereka dan tidak ketinggalan meninggalkan pelbagai komen yang mengiyakan dakwaan tersebut. Rata-rata bersetuju bahawa bentuk wajah Anis dan Kak KM seakan-akan sama, hingga ada yang berseloroh mengatakan mereka seperti adik-beradik.
Antara komen yang mencuri perhatian termasuk, “Kalau cakap adik-beradik pun orang percaya,” dan “Sebijik muka bini Haqiem dengan Kak KM.”
Tidak kurang juga, ada yang membandingkan rupa Anis dengan selebriti lain seperti pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan, sekali gus menambah warna dalam perbualan di media sosial.
Pertemuan mesra ini sekaligus menonjolkan sisi santai dan ramah kedua-dua figura ini, yang sememangnya sering menjadi perhatian umum dalam dunia hiburan dan perniagaan.