Hiburan

Rezeki di tangan Allah, buat apa nak risau – Hannah Delisha

BUKAN isu baharu apabila soal rezeki menjadi sesuatu yang merisaukan apabila seseorang pelakon itu tampil dengan imej berhijab.

Maklumlah, bila sudah berhijab, secara automatik akan wujud beberapa larangan yang membataskan sesetengah watak daripada dilakonkan.

Namun, bagi Hannah Delisha, dia sedikit pun tidak risau sekiranya tawaran watak untuk dilakonkan berkurang hanya kerana dia berhijab.

“Saya berhijab di atas kehendak diri saya sendiri dan tipulah jika saya tidak risau mengenai tawaran lakonan selepas tampil dengan imej baharu.

“Tetapi kerisauan itu hanya sementara sahaja kerana keyakinan saya pada rezeki yang Allah telah tetapkan lebih tinggi,” katanya yang kini berusia 24 tahun.

Menurut Hannah lagi, dia juga berasa sangat tenang ketika mula berhijab dan sedikit pun tidak kisah jika ada sesetengah tawaran lakonan tidak berpihak kepadanya.

Baginya mudah, rezeki semua ditentukan oleh Allah dan dia lebih senang untuk mengikut sahaja apa yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Hannah juga memberitahu yang dia tidak memilih untuk berlakon termasuk bersedia untuk membawa watak antagonis.

“Jujurnya Hannah tengok watak dulu. Tengoklah kalau watak itu sesuai dan perlukan seorang yang berhijab tapi jahat.

“Kita manusia masing-masing ada sifat tak baik dan jahat sebab kita bukan sempurna.

“Jadi Hannah tak kisah bawa watak jahat walaupun berhijab sebab ada saja orang yang nampak sangat alim tapi dia lain.

“Biasalah, bila tengok drama mesti ada yang benci pada mana-mana watak tapi cubalah lihat pengajaran di sebaliknya,” jelasnya.

Untuk rekod, Hanna mula tampil berhijab sejak September lalu dan berkongsi pengalaman tersebut menerusi saluran YouTube miliknya. -SM

(Visited 747 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button