Jenayah

Pengendali, wartawan Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman minggu ini

PENGENDALI dan wartawan Al Jazeera akan dipanggil minggu ini bagi membantu siasatan berhubung dokumentari agensi berita antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah menghubungi beberapa individu berkaitan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

“Mereka akan dipanggil memberi keterangan pada minggu ini dan awal minggu depan,” katanya ringkas kepada BERNAMA.

Beliau turut mengesahkan seorang aktivis sosial dipanggil semalam dan keterangannya sudah diambil di IPD Putrajaya bagi membantu siasatan susulan kenyataan di Facebooknya berkaitan dakwaan penganiayaan terhadap pelarian di pusat tahanan Imigresen.

Katanya lagi, pihaknya akan memanggil seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Rayhan Kabir yang terbabit dalam dokumentari itu.

Mior Faridalathrash berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lima laporan polis diterima berhubung laporan dokumentari agensi berita antarabangsa itu dan pihaknya mengenal pasti beberapa individu yang terlibat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19. – SM

(Visited 50 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button