Politik

Muhyiddin perlu hormat presiden UMNO

TAN Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya menyegerakan pembentukkan kabinet baharu dan bukan sibuk dengan urusan lain.

Beliau sepatutnya terus mengadakan pertemuan dengan para pemimpin parti-parti komponen Perikatan Nasional sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah Ahad lalu.

Semalam sepatutnya perkara itu telah selesai jika pertemuan diadakan dan tidaklah sampai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hampir dikenakan tindakan menghina mahkamah hari ini.

Zahid telah mendapat kebenaran mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan kesnya kerana menyangka ada pertemuan untuk membincangkan pembentukan kabinet.

Bagaimanapun pejabat perdana menteri mengeluarkan kenyataan tiada pertemuan tersebut.

Situasi itu menyebabkan mahkamah memanggil Zahid untuk hadir kembali ke mahkamah pada hari yang sama dan pihak pendakwa meminta diadakan prosiding menghina mahkamah kerana memberi maklumat salah.

Bagaimanapun semua harus bersyukur kerana hakim bertindak bijak dan memahami kekeliruan itu dan Zahid juga telah memohon maaf  kepada mahkamah.

Zahid memang tidak pernah lewat atau tidak hadir untuk perbicaraan kes beliau, bahkan selalu tiba awal dan tidak pernah meminta penangguhan dengan alasan tidak munasabah.

Muhyiddin dan pegawainya perlu sedar jika Zahid dikenakan prosiding menghina mahkamah kesannya juga kepada kerajaan yang baru berusia dua hari ini.

Zahid adalah presiden parti yang mempunyai 42 ahli parlimen, apakah para penyokong Zahid tidak sakit hati dengan permainan sebegini.

Muhyiddin seolah-olah masih berdendam dan mahu mempermainkan Zahid serta UMNO.

Jika UMNO menarik balik sokongan atau apabila undi tidak percaya dibuat di Dewan Rakyat kelak Muhyiddin akan kehilangan kerajaan dan menjadi perdana menteri yang paling singkat dalam sejarah negara ini.

UMNO dan Pas rasanya tidak terlalu gusar jika parlimen dibubarkan kerana mereka telah lama bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Tidak pasti pula Bersatu dengan 18 ahli parlimen dan berusia setahun jagung sudah cukup bersedia.

Kerjasama Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional telah membuahkan hasil apabila memenangi kesemua lima pilihan raya kecil dengan penuh bergaya.

Apakah Muhyiddin masih bermain permainan sorang papan tarik papan, ketika kerajaan yang ada terumbang-ambing.

Beliau perlu jelas Zahid perlu ada di dalam kabinet dan jawatan yang paling sesuai ialah timbalan perdana menteri kerana Zahid mewakili 42 ahli parlimen.

Muhyiddin perlu menunjukkan keikhlasan itu, sama ada Zahid menerimanya atau tidak ia adalah kes lain.

Ramai yang bimbang kerana perikatan yang belum sempat didaftar ini telah menampakkan belahnya.

Janganlah satu lagi sejarah tercipta, kerajaan berusia dua hari mengatasi rekod kerajaan berusia 22 bulan.

 

 

(Visited 316 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button