NasionalNegeri

IPT perlu lahir graduan cemerlang akademik juga kurikulum, sahsiah diri – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap institusi pendidikan tinggi (IPT) akan terus berjaya melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah kurikulum dan juga sahsiah diri.

Baginda bertitah, ianya bagi memastikan generasi muda ini akan terus berkembang dengan bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan yang dilaksanakan.

Demikian titah yang dizahirkan Baginda mengikut kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas berkenan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan daripada Royal Melbourne Institute Of Technology (RMIT) University di Melbourne Australia iaitu Timbalan Naib Canselor (Pendidikan) merangkap Timbalan Presiden universiti berkenaan iaitu Profesor Sherman Young; Pengarah Strategik Dan Impak Bagi Asia, Layton Pike dan Pendaftar Akademik, Connie Merlino, semalam.

Raja Muda yang juga merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) turut berkenan menyampaikan cenderahati berupa plaka bagi pihak UniMAP dan KUIPs di majlis tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat untuk menghadiri graduasi anakanda puteri kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail, 21, yang telah tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di RMIT University, Melbourne mulai 2018 hingga 2021 yang lalu.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP, anakanda puteri sulung Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan anakanda putera bongsu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Marzita Marzuki dan Konsul Muda Mohd Adham Yahaya hadir sama mengiringi Baginda.

Raja Muda juga berharap agar pelbagai bentuk kerjasama boleh dijalinkan antara RMIT University dengan UniMAP dan juga KUIPs di peringkat antarabangsa. – SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button