Nasional

Kerajaan tidak akan hantar jemaah tunai umrah

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk menghantar jemaah negara ini menunaikan umrah, walaupun kerajaan Arab Saudi membenarkan.

Muhyiddin berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli  Mohamad Al-Bakri menjelaskan walaupun kerajaan Arab Saudi telah membenarkan ibadah umrah dijalankan selama 10 hari, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia ke sana pada masa ini.

Dalam pada itu kata beliau, mengenai kebenaran mengadakan majlis pernikahan dan solat Jumaat,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli  Mohamad Al-Bakri menjelaskan ketetapan telah dibuat dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dilaksanakan.

Perdana menteri juga memaklumkan pagi tadi, beliau seperti biasa mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN)  harian mengenai COVID-19 secara sidang video bagi membincangkan situasi semasa pandemik dan langkah-langkah yang perlu diambil.

“Saya sekali lagi melahirkan rasa bimbang berikutan peningkatan kes-kes positif COVID-19 di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor yang bertukar daripada zon hijau kepada zon kuning atau merah walaupun tindakan dan pendekatan secara mitigasi  dan intervensi telah dipertingkatkan.

“Seperti yang kita sedia maklum, sidang Dewan Rakyat baru sahaja  bermula semalam dan berlangsung dalam keadaan norma baharu dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) diperkenal.

“Bagaimanapun sepanjang minggu ini sidang Parlimen diadakan setakat pukul 1 petang sahaja berikutan ada beberapa kes COVID-19 yang melibatkan beberapa petugas di Bangunan Parlimen,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Berikutan kes tersebut, katanya, timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen sendiri kerana kedudukan Bangunan Parlimen itu sendiri pun terletak di zon merah dan melibatkan pergerakan keluar masuk Ahli-ahli Parlimen, para pegawai mereka serta kakitangan di situ.

“Saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat menggunakan kebijaksanana beliau untuk menguruskan perkara ini.

“Dalam mesyuarat hari ini saya juga berbincang mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berakhir Disember ini sedangkan situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya berpandangan ada keperluan untuk PKPP ini diteliti semula bagi kawasan-kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak COVID-19 terutama di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak,” katanya.

Tambah Muhyiddin, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai cabaran Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan diadakan hujung tahun ini dan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda.

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button