NasionalNegeri

Imigresen Perlis sedia pembukaan sempadan Wang Kelian

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Perlis bersiap sedia dengan pembukaan semula Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian mulai 1 April ini.

Pengarahnya, Khairul Amin Taib berkata, persediaan ini melibatkan dua segi iaitu kesediaan sistem dan tenaga manusia.

Katanya, bagi kesediaan sistem, pihaknya sentiasa menguji dan memastikan sistem dan peralatan sentiasa berada di tahap terbaik semasa pengoperasian sepenuhnya nanti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena pelancaran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Jumaat lalu, mulai 1 April ini pihak Thailand telah bersetuju membuka pintu sempadan darat di Wang Kelian.

“Memandangkan ada di kalangan pegawai JIM yang turut dijangkiti Covid-19 dan dikenakan kuarantin, maka kami memutuskan pembukaan sekurang-kurangnya 50 peratus bagi kaunter manual bagi menguruskan kemasukan pelawat nanti,” katanya.

Khairul Amin berkata, pasukan penguatkuasa juga akan bertugas bagi memantau sebarang aktiviti yang mencurigakan termasuk percubaan bagi penyeludupan orang melalui ICQ nanti.

Beliau berkata, JIM Perlis juga telah memohon kerjasama dari pelbagai agensi bagi melancarkan operasi dan juga mengawal keselamatan dan melancarkan pergerakan semasa pembukaan sempadan nanti.

“Antaranya kita telah memohon kerjasama dari pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keselamatan dan kelancaran di pintu masuk ICQ,” tambahnya.

Katanya, agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah bersiap-sedia dengan petugas bagi memantau pelawat bagi imbasan MySejahtera, pemeriksaan status kesihatan dan lain-lain yang berkaitan. – SM

(Visited 908 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button