Nasional

PM umum lima langkah bagi jamin sekuriti makanan negara

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini memutuskan lima langkah bagi menjamin sekuriti makanan negara termasuk membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu turut melibatkan kerajaan negeri, kerjasama awam dan swasta.

Pada masa sama ia turut memberi serta jaminan pasaran bagi hasil pertanian diusahakan peladang dan petani.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat bersetuju memperkenalkan harga siling bergantung kepada faktor harga input, seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan memerlukan seperti diumumkan sebelum ini.

Langkah kedua diputuskan EAC, kata Perdana Menteri, adalah memperluaskan ekosistem agromakanan dengan rantaian bekalan diterajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.

“Koordinasi ini bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin. Sebagai contoh, bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan yang berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan.

“Ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga memaklumkan, kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri akan dipertingkatkan dalam usaha menambah keluasan tanah bagi kegunaan pertanian untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan menteri besar dan ketua menteri dalam masa terdekat,” katanya.

Langkah ketiga, katanya, meningkatkan kerjasama awam dan swasta yang fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalakkan pertanian pintar dalam meningkatkan hasil pertanian yang akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf.

“Seterusnya, memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran seperti menggalakkan ladang kontrak di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah untuk memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik dalam mendepani cabaran global bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. – SM

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button