Nasional

62 orang dijangkiti influenza di Pulau Pinang

JABATAN Kesihatan Negeri Pulau Pinang merekodkan 10 kluster penyakit seperti influenza (ILI) dengan seramai 62 individu dijangkiti influenza dalam kluster itu sejak 29 Dis lepas hingga 12 tengah hari semalam.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib berkata data itu diperoleh berdasarkan pengawasan yang dijalankan pihaknya di klinik sentinel terpilih di seluruh negeri itu.

“Seramai 62 individu dilaporkan dijangkiti influenza dalam kluster itu yang 15 pesakit menerima rawatan di wad dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Katanya influenza bermusim adalah jangkitan saluran pernafasan biasa yang disebabkan oleh virus influenza bermusim seperti Influenza A, Influenza B, berbeza dengan selesema burung (avian influenza) dan pandemic influenza.

Katanya influenza adalah jangkitan yang biasa dan ia tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan dan pemberitahuan mandatori di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan ekoran itu, pihaknya tiada rekod setiap kes jangkitan influenza yang berlaku di negeri.

Dr Asmayani berkata bagaimanapun pihaknya sentiasa mengawasi kes influenza dengan menggunakan data proksi ILI yang direkodkan daripada aktiviti pengawasan membabitkan beberapa klinik sentinel di seluruh negeri.

“Berdasarkan data ILI yang dipantau secara berterusan, kes ILI yang dilaporkan dari klinik sentinel menunjukkan penurunan 34.12 peratus dari 85 kes ke 56 kes untuk minggu epidemiologi pertama pada tahun 2019 dan 2020,” katanya.

Katanya selain itu, saringan suhu turut dibuat terhadap semua penumpang di balai ketibaan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di lapangan terbang dan penumpang yang didapati menunjukkan gejala akan ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata orang awam khususnya golongan berisiko tinggi adalah digalakkan untuk mendapatkan vaksin influenza bermusim secara tahunan yang ditawarkan di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negeri, sebagai langkah pencegahan dalam mengurangkan risiko terkena jangkitan wabak itu.

“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer dan mengamalkan adab batuk yang baik serta cara hidup sihat,” katanya.– BERNAMA

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button