JenayahNasionalParlimen

1,979 warga asing ditangkap tinggal lebih masa

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah berkompromi dalam aspek keselamatan negara melibatkan kemasukan dan keberadaan warga asing di dalam Negara. Antara strategi yang dilaksanakan adalah mengenakan syarat keperluan visa ke atas warganegara asing tertentu.

Ini bagi memastikan kemasukan pelancong asing adalah yang benar-benar bertujuan lawatan sosial, tulen, berkemampuan dari sudut kewangan dan tidak tergolong sebagai imigran larangan serta tidak termasuk dalam senarai syak JIM.

Sebagai langkah kawalan, Pejabat Perwakilan Malaysia dan Pejabat Atase Imigresen di luar negara akan menyaring terlebih dahulu permohonan visa secara dalam talian daripada pelancong dari negara yang memerlukan visa.

GAMBAR GOOGLE – PAS LAWATAN SOSIAL – GAMBAR HIASAN

Ini diikuti pemeriksaan di pintu-pintu masuk semasa ketibaan sebelum kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) diberikan yang menekankan pematuhan terhadap syarat-syarat seperti berikut:
i) memiliki dokumen perjalanan yang sah dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia;
ii) mempunyai visa yang sah bagi negara-negara yang memerlukan visa;
iii) mempunyai wang yang mencukupi bagi menyara hidup selama tempoh keberadaan di Malaysia;
iv) bebas dari tersenarai dalam Senarai Syak Jabatan dan Sistem Stolen Lost Travel Document (SLTD);
v) mempunyai tiket penerbangan keluar sama ada ke negara asal atau ke negara seterusnya yang disahkan (confirmed return/onward ticket); dan
vi) tidak tergolong di bawah golongan orang-orang yang dilarang masuk mengikut Seksyen 8(3) Akta 155.

“JIM telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang tidak keluar dari Malaysia dan melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini,” kata Menteri Dalam Negeri dalam menjawab soalan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Senator Hussin Ismail minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah usaha-usaha Kerajaan dalam mengatasi isu pelancong yang tidak keluar dari Malaysia setelah tamat visa pelancong dan berapakah bilangan kes yang telah disiasat berhubung dengan kewujudan unsur jenayah rasuah serta salah laku sepanjang proses kemasukan ke Malaysia.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), JIM turut melaksanakan aktiviti penguatkuasaan berterusan terutamanya di kawasan tumpuan (hot spot) bagi menangkap serta mengambil tindakan undang-undang terhadap warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1966.

“Mengikut rekod sepanjang tahun 2020 pihak JIM telah menangkap seramai 4,293 warga asing yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa,” katanya.

Katanya lagi, pada tahun 2021, seramai 2,704 warga asing telah ditangkap melakukan kesalahan yang sama, manakala pada tahun 2022 pula seramai 4,267 orang.

“Setakat 6 Jun 2023 seramai 1,979 warga asing telah ditangkap melakukan kesalahan tinggal lebih masa,” jelasnya.

Manakala kes yang melibatkan Pegawai Imigresen yang disiasat dan didapati bersalah berhubung dengan kewujudan unsur jenayah serta salah laku sepanjang proses kemasukan ke Malaysia adalah sebanyak 136 kes.

“Berdasarkan kepada jumlah itu, 112 kes adalah kakitangan yang melanggar pelanggaran tatakelakuan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 manakala 24 kes adalah kesalahan jenayah yang diputuskan oleh mahkamah,” katanya.  – SM

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button