Nasional

PM tolak perbelanjaan baik pulih kediaman, kereta bantu golongan sasar

SABAK BERNAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak perbelanjaan kereta dan baik pulih kediaman rasmi kerana mahu peruntukan itu disalurkan kepada golongan sasar yang lebih memerlukan.

Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali agar perbelanjaan tambahan tidak diperuntukkan untuk tujuan berkenaan.

“Apabila saya menjadi PM (Perdana Menteri) saya tolak untuk menerima kereta baru yang telah ditempah.

“Saya tidak ada perbelanjaan tambahan untuk kediaman rasmi, sebaliknya mahu wang itu diberikan untuk membaik pulih rumah Orang Asli di Kampar (Perak), Pahang atau di Selangor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Stadium Sungai Besar di sini pada Sabtu.

Anwar memberitahu, beliau yang berjuang dalam politik sejak usia muda bertekad dan bercita-cita tinggi untuk menjadikan negara ini hebat di mata dunia.

“Apa cita-cita saya? Saya nak jadikan kuasa ini (Perdana Menteri) dengan rakan (menteri kabinet) untuk membantu rakyat, pacu pertumbuhan ekonomi dan jadikan Malaysia negara hebat di dunia.

“Kita mahu mengangkat negara ini sebagai paling hebat di rantau Asia Tenggara ini,” jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, beliau meminta tiada pihak terlibat dalam salah guna kuasa dan terbabit dalam isu rasuah.

“Bagaimana kita boleh (mencapai hasrat) ini? Pastinya jangan ada orang sakau dan kalau terbukti kita tangkap dan hantar masuk (penjara) Sungai Buloh,” ujar beliau.

Selain itu, katanya, bagi menjadikan negara terus dihormati, beliau juga mahu menjaga perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Kita tidak boleh menafikan untuk membantu orang Melayu, Orang Asli dan kaum Bumiputera, tetapi ingat, orang India, Orang Cina juga rakyat kita.

“Jika kita tolong Melayu, jangan zalim dan hak mereka kita pertahankan,” ujar beliau.

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button