Politik

Ismail Sabri bawa kestabilan politik

SERAMAI 114 ahli parlimen akan hadir di Istana Negara, pagi ini bagi mengesahkan sokongan mereka kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dilantik sebagai perdana menteri kesembilan selepas mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Ini bermakna Ismail Sabri mendapat sokongan daripada semua ahli parlimen UMNO termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Lebih penting beliau mendapat sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan perdana menteri tempoh hari. Muhyiddin juga membawa sokongan kesemua ahli parlimen Bersatu dan gabungan parti lain di dalam Perikatan Nasional termasuk Pas dan GPS.

Dalam erti kata lain Ismail Sabri berhasil menyatukan pihak yang bertelagah terutama Ahmad Zahid selaku presiden UMNO dengan Muhyiddin.

Di pihak pembangkang yang mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekali lagi gagal, apatah lagi parti Pejuang pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan juga Warisan diketuai Datuk Shafie Apdal tidak mengemukakan surat sokongan menyebabkan Anwar hanya mempunyai tidak sampai 100 sokongan.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini mahukan persengketaan politik diakhiri dan kerajaan baharu yang dibentuk perlu meneruskan dasar-dasar baik kerajaan terdahulu dalam menangani wabak pandemik seperti program vaksinasi dan sebagainya.

Ismail Sabri adalah kesinambungan kerajaan sebelum ini kerana selain pernah menjadi menteri kanan yang mengendalikan hal ehwal memerangi Covid-19, sebelum beliau telah dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digerakkan oleh kerajaan sebelum ini mulai menampakkan hasil apabila jumlah vaksinasi semakin tinggi, kadar kebolehjangkitan Covid-19 mulai menurun. Ia juga diikuti dengan berkurangnya jumlah kemasukan pesakit ke hospital.

Dijangkakan dua bulan lagi apabila 80 peratus penduduk negara ini telah divaksin negara akan mencapai kekebalan kelompok dan ketika itu kadar jangkitan akan terus menurun dan lebih banyak sektor ekonomi akan dibuka.

Ini bukan sahaja membawa kita semua keluar daripada krisis pandemik, tetapi memulihkan kegawatan ekonomi yang kita hadapi pada masa ini.

Dari segi politik UMNO telah mencapai matlamat yang diletakkan untuk menjadi tonggak kerajaan dengan meletakkan pemimpin utamanya sebagai perdana menteri.

Selaku parti terbesar di dalam gabungan komponen di dalam kerajaan hari ini, UMNO berhak berada pada kedudukan itu.

Selepas ini semua pihak diharap tidak lagi mengganggu pentadbiran negara yang perlu memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan menyantuni kehidupan rakyat.

Sebagaimana tidak Yang di-Pertuan Agong bahawa, apa jua yang dilakukan harus mengutamakan rakyat. Peringatan itu turut terpakai kepada pihak pembangkang.

Biarlah Ismail Sabri menguruskan negara dengan tenang dan semak serta imbang dibuat cara yang lebih harmoni hinggalah negara kita ini keluar dari krisis dan rakyat menentukan kerajaan melalui pilihan raya dan bukannya dengan cara jerit pekik terlolong seperti polong dan demonstrasi jalanan.

 

 

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button