Nasional

Majikan di Malaysia bakal menerima graduan yang lebih bersedia memasuki alam pekerjaan

Syarikat dan majikan di Malaysia bakal memperoleh graduan universiti yang sudah bersiap sedia untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik menerusi sebuah inisiatif yang dilancarkan oleh Universiti Multimedia (MMU).

Melalui inisiatif yang dinamakan iCadet Program, pelajar-pelajar yang berkelayakan akan dilatih menjadi graduan yang bersedia untuk industi. Program berkenaan akan memadankan para pelajar dengan syarikat-syarikat yang bersesuaian. Menerusi beberapa siri mesyuarat, projek dan aktiviti, para pelajar akan didedahkan dengan persekitaran kerja sebenar dalam syarikat-syarikat terbabit.

Mr. Imri Mokhtar (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada wakil Kedutaan Perancis di Majlis Pelancaran Program iCadet di MMU Cyberjaya pada 12 September 2022. Turut hadir Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud (kiri).

Dengan bekerja secara lebih dekat dengan majikan terpilih itu, setiap pelajar akan diperkenalkan dengan budaya kerja, rakan sekerja dan bentuk perniagaan sesebuah industri. Sebaik sahaja tamat pengajian, setiap pelajar akan lebih mengenali tentang firma majikan dan seterusnya bersedia untuk menjadi sebahagian daripada pasukan tenaga kerja di tempat kerja.

Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, Presiden MMU, bercakap pada majlis pelancaran program itu hari ini, beliau amat teruja tentang program itu yang dijangka akan memberi impak positif kepada majikan-majikan di Malaysia.

“Kami percaya inisiatif ini adalah game changer dalam industri. Ia menjimatkan sumber majikan yang sebelum ini terpaksa membelanjakan banyak sumber untuk melatih pekerja baharu sebelum mereka boleh memberi tugasan sebenar. Sumber yang dijimatkan dalam memberi latihan kepada kakitangan juga akan memberi impak positif kepada majikan,” katanya.

“Setakat ini sebanyak 35 organisasi telah mengesahkan penyertaan dan saya yakin lebih banyak organisasi akan menyertai program iCadet ini pada masa depan,” tambahnya.

Mr. Imri Mokhtar (kiri) melancarkan Program iCadet di MMU Cyberjaya pada 12 September 2022. Turut hadir Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud.

Program iCadet berkenaan telah dirasmikan oleh En. Imri Mokhtar, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia (TM). Beliau berkata, TM juga sangat tertarik dengan initiatif Program iCadet dan potensinya. Tambahnya, TM bangga untuk menerima bakat-bakat iCadet dalam pelbagai bidang tidak lama lagi.

“Saya amat berharap melalui program ini, ramai pemimpin masa depan daripada generasi muda kita akan mendapat manfaat yang besar dan akhirnya akan menjadi graduan yang sudah bersiap sedia memasuki alam pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian,” tambahnya.

Program iCadet akan ditawarkan kepada pelajar tahun kedua di Kampus Melaka dan Cyberjaya. Pelajar yang menyertai program ini akan menjalani model latihan dan aktiviti termasuk Program Jalinan Industri (Industry Handshake Programme), Latihan Industri, Projek Tahun Akhir Industri, aktiviti tanggungjawab sosial & korporat (CSR) serta lawatan dan acara tahunan syarikat.

Prof. Mazliham mengalu-alukan semua syarikat dan majikan di negara ini untuk menyertai Program iCadet kerana ia terbuka kepada semua perniagaan dan industri. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang program ini, sila layari https://www.mmu.edu.my/icadet.

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button