Nasional

Bank Rakyat sumbang bantuan kepada petugas Hospital Covid-19

Serah zakat kepada universiti awam dan ibu tunggal

BANK Rakyat sumbang bantuan kepada lima buah hospital di seluruh negara bagi tujuan pembelian makanan dan keperluan asas untuk meringankan bebanan petugas yang berkhidmat dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut telah dibuat sejak 20 Mac 2020 yang lalu menerusi sumbangan kepada Hospital Umum Sarawak, Sarawak.

Bank juga telah menyerahkan sumbangan kepada Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 23 Mac 2020 dan Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 24 Mac 2020. Dua hospital lain yang turut menerima sumbangan adalah Hospital Sungai Buloh, Selangor dan Hospital Queen Elizabeth 1, Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Rosman Mohamed berkata sumbangan ini dilakukan sebagai tanda penghargaan kepada petugas yang bertungkus-lumus memberikan khidmat dalam menghadapi situasi yang mencabar ini.

BACA:

“Kami di Bank Rakyat menghargai jasa dan pengorbanan tidak ternilai oleh golongan doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang merupakan barisan hadapan dalam menangani penularan wabak Covid-19 ini.

“Justeru, kami berharap sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan bebanan mereka dalam meneruskan khidmat harian.

“Bank Rakyat mendoakan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia, terutamanya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua petugas yang terlibat dalam menghadapi krisis ini.

Marilah sama-sama kita berganding bahu dalam memberikan sokongan yang diperlukan oleh KKM sama ada dalam bentuk kewangan, perkhidmatan atau dengan sekadar menjaga kesihatan diri dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.” ujar Dato’ Rosman.

Di samping itu, Bank Rakyat melalui Surau Al-Barakah turut menyalurkan sumbangan zakat sebanyak RM100,000 kepada 10 universiti awam tempatan bertujuan bagi membantu menyediakan bekalan makanan kepada mahasiswa yang terkandas akibat penularan wabak COVID-19.

Antara universiti awam yang menerima sumbangan zakat Bank Rakyat termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Utara Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya.

Pada masa yang sama, Bank Rakyat melalui anak syarikatnya Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS) juga menyerahkan zakat berjumlah RM20,000 kepada golongan ibu tunggal menerusi Persatuan Ibu-ibu Berdikari Nur di Puncak Alam, Selangor.

Seramai 200 orang ibu tunggal yang terdiri daripada golongan asnaf dan miskin bandar telah menerima bantuan berkenaan bagi membantu mereka membeli keperluan harian dan bekalan makanan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac 2020 lalu.

“Inisiatif ini bukan sahaja bagi membantu meringankan beban kewangan penerima, pada masa yang sama bagi membantu kerajaan terutamanya dalam merawat pesakit COVID-19 dan membantu mereka yang terkesan akibat wabak ini.

“Bank Rakyat akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi membantu semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh penularan wabak COVID-19,” tambah Dato’ Rosman.

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button