Politik

PN tolak permohonan Pejuang sertai gabungan

PERIKATAN NASIONAL (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai gabungan politik berkenaan.

Keputusan Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat semalam itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi maklumat lanjut berhubung keputusan PN menolak permohonan parti itu.

Pada 2 Mac lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, partinya sudah menghantar surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya partinya diterima sebagai anggota komponen.

agong
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Mesyuarat PN semalam dipengerusikan oleh Muhyiddin dan turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

Hamzah menambah, Majlis Tertinggi PN juga membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan manakala lambang Pas digunakan di Kelantan dan Terengganu.

“Majlis Tertinggi PN turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

Lantikan-lantikan lain adalah Pengerusi Badan Perhubungan PN Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Pengerusi Badan Perhubungan PN Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Radzi Jidin serta Mohamad Siddiq Mohd. Azani dan Muhd. Khidir Izaidin selaku Penolong Setiausaha Eksekutif PN.

Artikel berkaitan > Kerjasama PN-Pejuang perlu dibincang pada mesyuarat tertinggi

 

(Visited 288 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button