
Irmohizam terima anugerah alumni tersohor UPNM
Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (Pengarah Urusan Kumpulan, World Trade Centre Kuala Lumpur) telah dianugerahkan Anugerah Alumni Tersohor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Watikah Pelantikan Duta Alumni UPNM ketika Majlis Sinergi Bersama Alumni UPNM 2025 yang diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Anugerah Alumni Tersohor ini mula diperkenalkan mulai tahun 2025 dan merupakan satu penghormatan yang dianugerahkan oleh UPNM kepada alumni yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam bidang masing-masing.
Anugerah ini mengiktiraf sumbangan mereka terhadap universiti, masyarakat, negara dan dunia.
Penganugerahan ini telah disampaikan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM.
Terdapat sembilan alumni UPNM yang turut menerima Watikah Duta Alumni UPNM pada majlis ini.
“Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Alumni Tersohor UPNM dan Anugerah Watikah Duta Alumni UPNM ini.
Saya sangat teruja dan bangga untuk menjadi penerima pertama yang menerima Anugerah Alumni Tersohor UPNM ini.
Terima kasih tidak terhingga kepada pihak universiti atas pengiktirafan ini. Saya akan terus membuat yang terbaik untuk memperkasakan dan memperkukuhkan jaringan alumni UPNM secara berterusan” kata Irmohizam.
Beliau kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan dan Pentadbiran Pertahanan di UPNM. Ini merupakan Doktor Falsafah beliau yang ketiga
Beliau juga merupakan Profesor Adjung, Pejabat Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPNM dan juga telah dianugerahkan Anugerah Sarjana Cemerlang Tuanku Canselor (Sains Sosial) oleh UPNM pada tahun 2023.
Pengiktirafan Irmohizam oleh UPNM menambah senarai pencapaiannya yang mengagumkan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin dan penyumbang kepada kemajuan ilmu dalam dunia korporat dan akademik.