Nasional

SUHAKAM bimbang penahanan pesalah PKP

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bimbang terhadap tatacara tangkapan dan penahanan pesalah-pesalah yang didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kenyataan hari ini SUHAKAM berkata, proses penangkapan telah mengurangkan penjarakkan sosial mungkin kerana kegagalan melaksanakan SOP sepenuhnya.

“Memasuki minggu ketiga PKP, dilaporkan sebanyak 4,189 tangkapan dan 1,449 pendakwaan telah dilaksanakan.

“Mungkin tidak disampaikan sepenuhnya kepada pegawai yang melaksanakan tugas ataupun ia gagal difahami sebaiknya.

“Merujuk kepada rakaman di mana sekumpulan remaja didakwa melanggar PKP telah dirotan oleh pihak berkuasa di Sabah, SUHAKAM ingin mengingatkan bahawa ia merupakan tindakan yang salah di sisi undang-undang, kejam, menjatuhkan maruah dan bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia,” kata SUHAKAM.

Tambahan pula, apabila ia melibatkan kanak-kanak, adalah mencukupi untuk menghalang mereka dengan memberikan amaran untuk kesalahan pertama sebelum mereka dihantar pulang ke rumah.

Menurut Peraturan 10, Peraturan-peraturan Lokap 1953, tahanan harus menjalani pemeriksaan kesihatan sejurus sebelum ditahan di lokap.

Walau bagaimanapun, realitinya, tiada pegawai perubatan terlatih ditempatkan di lokap-lokap polis.

BACA:

Berdasarkan pemerhatian semasa lawatan pemantauan dijalankan, kebanyakan lokap polis adalah kecil, dalam keadaan uzur, kurang pengudaraan dan pencahayaan semulajadi.

Ketiadaan langkah-langkah pencegahan sebaiknya dan jumlah pesalah-pesalah yang didakwa kerana ingkar arahan PKP yang agak tinggi, boleh meningkatkan risiko ancaman kesihatan terhadap tahanan, pihak polis dan barisan hadapan yang terlibat dalam proses tangkapan dan penahanan.

SUHAKAM menyambut baik arahan Ketua Hakim Negara baru-baru ini di mana prosiding reman boleh dilaksanakan di balai polis dalam tempoh PKP.

Walau bagaimanapun, ia tidak menjamin bahawa penjarakkan sosial akan dipatuhi sepenuhnya dalam waktu ini.

SUHAKAM turut bimbang berkenaan keadaan di dalam penjara, yang secara umumnya melebihi kapasitinya dan sesak dengan banduan.

Sekiranya pihak berkuasa terus menjalankan tangkapan dan mendakwa lebih ramai pesalah PKP, ia akan meningkatkan lagi jumlah banduan yang ditempatkan di dalam ruang yang tertutup, di mana keadaan ini boleh merangsang kepada penularan segala penyakit berjangkit.

Semasa seluruh jentera Kerajaan dikerah sepenuhnya untuk memerangi pandemik dan segenap komuniti dikehendaki berada di rumah, mereka yang berada di dalam pusat tahanan dan mengalami kesukaran untuk mengamalkan penjarakkan sosial, tidak seharusnya dilupakan.

SUHAKAM memuji usaha Jabatan Penjara Malaysia yang telah mengambil langkah-langkah pencegahan awal di dalam penjara setakat ini.

Dalam pada itu, SUHAKAM akan terus menyarankan agar Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk membangunkan SOP selaras dengan keperluan penjarakkan sosial kesihatan awam dan juga prinsip-prinsip hak asasi manusia.

SUHAKAM telah berhubung dengan agensi-agensi penguatkuasaan dan berharap agar langkahlangkah mitigasi yang disenaraikan di bawah dapat dipertimbangkan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat, sejajar dengan usaha membuat penambahbaikan pelaksanaan tugasan mereka:

Bagi mereka yang menjalani prosiding reman dan pendakwaan:

i. Pesalah dakwaan ingkar PKP, bawah umur dan pesalah berita tidak benar, perlu dibebaskan dengan jaminan polis dan didakwa pada masa akan datang.

ii. Sekiranya pesalah yang didakwa tidak mampu membayar ikat jamin, alternatif kepada ikat jamin secara tunai boleh merangkumi bon atau ikat jamin bukan wang tunai perlu dilaksanakan; manakala alternatif kepada sabitan dan denda boleh merangkumi perintah khidmat masyarakat.

iii. Keutamaan untuk dibebaskan, perlu diberikan kepada mereka yang di bawah umur, wanita, orang kurang upaya, warga emas dan mereka yang mempunyai sakit kronik atau di bawah rawatan kesihatan.

Peluang yang sama boleh diberikan kepada mereka yang didakwa di bawah kesalahan kecil atau kesalahan berkaitan keadaan sosio-ekonomi (kemiskinan) seperti mencuri.

Bagi banduan di penjara: Lebih kurang 30% banduan penjara merupakan banduan reman yang menunggu perbicaraan atau belum disabitkan kesalahan, mereka perlu diberikan pertimbangan untuk dibebaskan di bawah arahan pentadbiran khas.

Ini termasuk:

a. Banduan reman bawah umur, kesalahan tidak melibatkan keganasan atau penagih dadah yang tidak berisiko kepada keselamatan awam dan banduan yang berpenyakit kronik;

b. Banduan reman kesalahan sosio-ekonomi;

c. Banduan warga emas dengan masalah kesihatan, termasuk kesihatan mental.

Dalam tempoh masa yang genting sebegini, SUHAKAM menggesa orang ramai untuk memainkan peranan penting iaitu mematuhi arahan PKP dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha memerangi pandemik ini, demi kebaikan kesihatan dan keselamatan diri sendiri serta masyarakat keseluruhannya.

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button