Bola SepakSukan

Inter Milan sang juara yang tempang

Dinobatkan selaku juara Serie A, tetapi dibelenggu masalah kewangan

NAIB Presiden Inter, Javier Zanetti berkata, juara Serie A itu kini berdepan masalah kewangan yang serius berikutan ketidaktentuan mengenai isu pemilikan kelab yang masih belum selesai.
Atalanta diikat keputusan seri 1-1 dengan Sassuolo, minggu lepas dan ini bermakna Inter dinobatkan selaku juara Serie A buat kali pertama sejak kemenangan treble skuad bimbingan Jose Mourinho bagi musim 2009/10 telah menamatkan sembilan kemenangan berturut-turut Juventus.
Walaupun berjaya menerajui Inter sebagai juara Serie A, masa depan ketua jurulatih, Antonio Conte masih kekal tidak menentu ekoran situasi kewangan Nerazzurri akibat pandemik coronavirus setelah pemilik, Suning Holdings Group dilaporkan sedia menimbangkan untuk menjual kelab itu.
Laporan mengenai kebarangkalian Inter akan dijual didedahkan pada pertengahan musim dan khabar angin mengenai pemilik kelab dari China, selaku pemegang majoriti sejak 2016, masih berterusan ketika krisis Covid-19.
“Pada dasarnya, kita perlu kembali kepada yang normal.
“Memang benar kelab hampir dijual pada pertengahan musim.
“Kami berdepan masalah kewangan yang serius, walaupun kami bukan satu-satunya kelab yang menghadapi detik sukar.
“Saya melihat sebagai sebuah kelab, kami masih boleh melakukan peningkatan. Jurulatih berjaya melakukan sesuatu yang luar biasa sejak dua tahun lalu, sekarang bergantung kepada kami untuk meningkatkan mekanisme dalaman dan menyimpan cita-cita untuk mencipta kejayaan yang lebih besar.
“Masalah kewangan masih kekal dan ia mengambil masa beberapa tahun untuk seimbangkan kembali akaun. Kami memerlukan peminat kembali ke stadium untuk membuat penaja gembira. Secara dasarnya, untuk kembali kepada yang normal.
“Kami tidak sepatutnya bersembunyi ketika detik yang sukar, tetapi kami amat memerlukan kejayaan ini, jadi kami boleh mengorak langkah lebih besar. Apa yang kami perlukan ialah mendapatkan strategi yang menjamin masa depan jangka panjang,” kata bekas bintang Inter dan kapten, Zanetti kepada La Nacion.
Conte merangkul gelaran Serie A musim ini buat kali keempat, dan hanya lima lagi jurulatih yang berjaya mencipta sejarah liga dengan sekurang-kurangnya memenangi empat trofi.
Bekas bos skuad kebangsaan Itali itu muncul jurulatih kedua dalam sejarah Serie A memenangi Scudetto bersama Inter dan Juve, selepas Giovanni Trapattoni berjaya berbuat demikian.
“Conte telah memberi keutamaan kepada etika kerja dan mentaliti.
“Dia berjaya meyakinkan para pemain, malah, pemain termuda tentang projeknya mampu membuahkan hasil. Sejak hari pertama dia tiba, tidak sehari dia membiarkan berlalu begitu sahaja tanpa memikirkan bagaimana untuk meningkatkan pasukan. Dia berjaya meyakinkan kelab agar mempercayainya.
“Memang terdapat sedikit skeptikal tentang masa lampaunya bersama Juventus, tetapi mereka belajar menyayanginya. Dia mula fokus sejak hari pertama dan terima cabaran seperti Interista sejati,” jelas Zanetti. – AS – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button