Nasional

Integriti satu prinsip moral yang tinggi – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, integriti perlu dilihat sebagai satu komitmen terhadap prinsip moral yang tinggi dalam memikul dan menjalankan sesuatu tugas sama ada di peringkat individu mahupun organisasi.

Jelas baginda, di peringkat individu, penghayatan konsep integriti bererti seseorang itu perlu menunjukkan keselarasan di antara apa yang diungkapkan dengan apa yang dilakukan, bertindak menurut prinsip moral, etika dan undang-undang, mengutamakan kepentingan umum melebihi kepentingan peribadi, serta melakukan sesuatu kerja yang diamanahkan dengan tepat dan berkualiti”.

“Manakala di peringkat organisasi pula, penghayatan integriti perkhidmatan terjelma dalam bentuk perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan, proses kerja dan juga pematuhan terhadap amalan terbaik”, titah baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Ameer Fawwaz Sungai Baru untuk diagihkan oleh amilnya, Mohd Shokkeri Ismail.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah Tuanku Raja Muda, “Integriti juga merupakan elemen penting demi menjamin kesejahteraan dalam kakitangan awam. Integriti mempunyai hubungan positif dengan kesejahteraan individu, kesejahteraan komuniti dan kesejahteraan organisasi. Integriti membentuk kakitangan berakhlak dan bebas daripada tingkah laku negatif. Begitu juga sebaliknya, di mana kelemahan integriti menyumbang kepada keruntuhan nilai moral dan kerosakan sesuatu profesyen pekerjaan”.

(Visited 357 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button