
Integriti, akauntabiliti perkukuh keyakinan rakyat terhadap MAIPs
ARAU: Kepimpinan yang berintegriti dan berakauntibiliti bukan sahaja menjadi contoh kepada kakitangan majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), tetapi juga memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap institusi ini.
Sumber manusia adalah aset terpenting dalam memastikan kejayaan sesebuah organisasi. MAIPs diseru agar terus melabur dalam pembangunan kapasiti kakitangan melalui latihan dan bengkel yang relevan kerana ia bukan sahaja memerlukan individu yang mahir, tetapi juga yang berjiwa besar dan berdedikasi terhadap matlamat organisasi.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli yang berlangsung di sekitar Kampung Alor Redis dekat Kangar baru-baru ini.
Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen berterusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam memperkasakan agenda kebajikan ummah. Ia bertujuan menyantuni golongan asnaf dengan menyampaikan bantuan secara langsung kepada mereka yang memerlukan di seluruh negeri.
Pada masa yang sama Tuanku Raja Muda menambah bahawa era globalisasi menuntut pendekatan yang lebih strategik dan inovatif dalam pengurusan. Olehkerana itu, MAIPs perlu terus memanfaatkan teknologi dan data terkini untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan, terutamanya dalam bidang pengurusan zakat, wakaf, dan inisiatif pembangunan Ummah. Sebagai contoh, projek Sistem Perkhidmatan Maklumat MAIPs (SPMMPs) yang sedang dibangunkan perlu menjadi model pengurusan berprestasi tinggi.
Sempena kayuhan amal tersebut, Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada beberapa penerima terpilih. Bantuan yang disalurkan merangkumi wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah.
Antara penerima sumbangan pada kali ini ialah Asian Hussain, 73 tahun, Ma Talib, 63 tahun, dan Aishah Mat Isa, 84 tahun yang merupakan penduduk yang menetap di Kampung Alor Redis.
FOTO