Hiburan

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tersenarai dalam pencalonan Oscar 2020

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Filem animasi popular tempatan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les’ Copaque Production melakar sejarah apabila disenaraikan bersama 32 filem animasi antarabangsa lain bagi pencalonan pada Anugerah Academy atau Oscars 2020 bagi kategori Filem Animasi Terbaik.

Syarikat produksi tempatan itu berkongsi berita gembira itu menerusi catatan di laman rasmi Instagram dan Twitter rasmi miliknya.

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal disenaraikan bersama 32 filem animasi antarabangsa yang lain bagi pencalonan Oscars 2020.

“Terima kasih rakyat Malaysia di atas sokongan luar biasa terhadap filem ini,” tulis syarikat itu.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bersaing dengan filem animasi antarabangsa seperti The Angry Birds Movie 2, Toy Story 4, The Secret Life of Pets dan Frozen 2.

Filem animasi yang mula ditayangkan pada 21 Mac lepas itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM25 juta iaitu selepas tiga minggu ia ditayangkan dengan jumlah penonton mencecah 2 juta di Malaysia.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengisahkan mengenai pengembaraan dua beradik itu yang digarap dengan beberapa karakter daripada kisah hikayat dongeng Melayu lama antaranya Mat Jenin, Raja Bersiong, Nakhoda Ragam dan Si Tanggang.

Filem menelan kos RM20 juta itu baru-baru ini diangkat sebagai Filem Cetera Terbaik di Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (Animaze) di Montreal, Kanada.

Selain menembusi pasaran China, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal turut ditayangkan di Indonesia, Vietnam, Uzbekistan dan India.– BERNAMA

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button