Ekonomi

Instahome bekerjasama dengan Tune Protect tawar insurans percuma kepada tuan rumah

Syarikat teknologi hartanah yang disokong oleh Kumpulan Catcha, Instahome Sdn Bhd (Instahome) mengumumkan kerjasama dengan Tune Protect Malaysia (Tune Protect) bagi menawarkan insurans percuma kepada tuan rumah untuk menyewakan aset mereka tanpa rasa bimbang.

Insurans untuk tuan rumah yang baharu dilancarkan itu adalah perkhidmatan yang pertama seumpamanya diperkenalkan di negara ini, membolehkan tuan rumah mengutip deposit keselamatan pada permulaan perjanjian penyewaan selain turut mendapat perlindungan insurans secara percuma.

Insurans tersebut bertujuan memberi jaminan tambahan kepada tuan rumah dengan mengurangkan risiko kerugian kewangan yang boleh dialami selepas mereka menyewakan hartanah melalui platform Instahome. Ia akan melindungi tuan rumah daripada liabiliti dalam proses penyewaan seperti sewa yang tidak dibayar, kerosakan harta benda dan kecurian oleh penyewa.

Insurans tuan rumah ini diperkenalkan selepas Instahome menjalankan penyelidikan pasaran yang komprehensif dan mendapati lebih daripada 70 peratus tuan rumah berminat terhadap produk yang mampu melindungi hartanah mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Instahome, Eric Tan Leong Yit berkata,  walaupun tuan rumah memegang deposit penyewa, mereka masih bimbang akan kemungkinan kerosakan terhadap harta benda mereka atau perabot yang dicuri oleh penyewa yang melarikan diri.

“Kami memperkenalkan perkhidmatan komprehensif ini untuk memberikan tuan rumah ketenangan fikiran yang mutlak. Berdasarkan tinjauan terhadap tuan rumah, kami percaya gabungan deposit sewa tradisional dan insurans tambahan akan memberikan faedah yang terbaik kepada mereka.”

“Mengutip deposit keselamatan sahaja mungkin tidak mencukupi kerana kerugian sewa dan kerosakan harta benda boleh melebihi jumlah deposit, manakala mempunyai pakej insurans sahaja tanpa deposit pula melibatkan kos yang tinggi dan memakan masa. Tuan rumah sering berhadapan dengan penyewa yang tidak dapat memastikan harta itu dijaga dengan baik,” katanya lagi.

“Kami mendengar keluhan tuan rumah, dan oleh sebab itu, Instahome sangat teruja untuk bekerjasama dengan Tune Protect kerana ia dapat membantu mengukuhkan komitmen syarikat dalam menambahbaik pengalaman tuan rumah dalam penyewaan hartanah mereka,” tambah Eric.

Dengan insurans tersebut, tuan rumah boleh menyimpan deposit keselamatan dua setengah bulan yang dikutip, dan sekiranya penyewa melarikan diri, mereka berhak menerima bayaran sehingga RM1,500 untuk kerugian sewa, RM500 untuk yuran guaman, RM15,000 untuk kerosakan harta yang diinsuranskan dan RM1,000 untuk kecurian oleh penyewa.

Ketua Pegawai Perkongsian & e-Dagang Tune Protect, Janet Chin (Janet) berkata: “Kami gembira dapat bekerjasama dengan Instahome untuk memperkasakan para tuan rumah di Malaysia dan memberikan pengalaman proses penyewaan yang baharu. Melalui proses penyewaan hartanah secara digital oleh Instahome, yang digabungkan pula dengan kemudahan dan kebolehcapaian produk dan perkhidmatan Tune Protect, kami yakin perkongsian ini akan menjadi pengubah permainan dalam pasaran hartanah sewaan dan seterusnya meningkatkan kualiti ekosistem penyewaan.”

“Dengan kepelbagaian produk insurans kami, membolehkan Instahome menawarkan manfaat tambahan dengan memasukkan produk insurans Tune Protect ke dalam laluan pembelian mereka untuk memberi pelanggan perlindungan yang relevan dan memenuhi keperluan gaya hidup pelanggan,” katanya.

“Perkhidmatan ini adalah untuk memberikan pengalaman insurans yang mudah kepada pelanggan dan kami gembira dapat bertemu dengan mereka dalam suasana yang memudahkan mereka seperti di platform digital Instahome,” tambah Janet lagi.

Mempakejkan insurans ke dalam perkhidmatan Instahome akan memudahkan proses penyewaan untuk tuan rumah dan menawarkan mereka sokongan dari awal hingga akhir.

Tuan rumah akan menerima sokongan komprehensif yang merangkumi:

  1. Sokongan pengusiran – Instahome akan membimbing tuan tanah bagaimana melakukan proses tuntutan di mahkamah dan menghubungkan mereka dengan peguam panel bagi penyewa bermasalah;
  2. Menawarkan perkhidmatan pelanggan 7 hari seminggu untuk mengendalikan sebarang pertanyaan;
  3. Sistem kutipan sewa percuma dengan penghantaran peringatan pembayaran sewa dan ganjaran penyewa yang membayar tepat pada masanya dan;
  4. Sokongan penyelenggaraan untuk menyediakan pemilik rumah dengan cadangan kontraktor yang boleh dipercayai dan kadar istimewa melalui perkongsian Instahome dengan Kaodim.
(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button