
Insomniacks Gegar Zepp KL Julai Ini Dengan Konsert Solo Pertama
SETELAH sedekad mengukir nama dalam industri muzik tanah air, kumpulan Insomniacks bakal merealisasikan impian lama mereka dengan penganjuran konsert solo pertama bertajuk Insomniacks: Echoes Of A Dream pada 12 Julai 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment dengan kerjasama Universal Music dijangka menjadi titik penting dalam kerjaya muzik trio popular ini — Iqie (vokalis), Wan Arif Iskandar (pemain bass), dan Danial Lee Hashim (gitaris).
“Ini akan menjadi satu detik bersejarah buat Insomniacks kerana ia merupakan konsert solo pertama mereka. Kami juga menawarkan harga tiket paling mampu milik dalam sejarah Zepp KL supaya peminat dapat turut serta mencipta kenangan ini,” kata Sufi Rashid, Pengarah Urusan SAH Entertainment.
Sejak penubuhan pada tahun 2015, Insomniacks telah mencuri hati pendengar menerusi lagu-lagu hits seperti Pulang, Sempurna, Reminisensi, dan Igauan Malam. Kejayaan mereka turut terbukti apabila empat lagu tersebut berjaya menembusi carta Top 10 RIM — pencapaian yang meletakkan mereka sebagai satu-satunya band dengan empat lagu serentak dalam carta berprestij itu.
Lebih membanggakan, mereka merupakan artis Malaysia kelima paling banyak distrim di Spotify sepanjang tahun 2024, dan telah menawan hati peminat bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Indonesia, Singapura dan Brunei.
Kolaborasi bersama Nabila Razali menerusi Cerita Kita serta Belum Mulai bersama bintang muda Indonesia, Nabila Taqiyyah — yang dinobat sebagai Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2024 — turut melonjakkan populariti mereka ke tahap antarabangsa.
Harga tiket konsert Echoes Of A Dream bermula serendah RM138 (Maniacks – standing), RM168 (Sempurna – seating), RM228 (Reminisensi – seating) hingga RM6888 (Pulang – VIP Box). Tiket boleh didapati melalui laman web Ticketmelon mulai 5 Mei 2025.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi emel rasmi SAH Entertainment di [email protected]