Hiburan

Jangan malukan orang yang tidak pandai berbahasa Inggeris – Joe Flizzow

MENTERTAWAKAN atau memalukan seseorang yang tidak pandai berbahasa Inggeris dengan baik adalah perkara yang disifatkan penyanyi, Joe Flizzow sebagai sesuatu yang agak jelek.

Malah, menurut Joe, dia satu ketika dahulu juga tidaklah sempurna berbahasa Inggeris dan itu yang membuatkannya terus belajar dan hingga mampu menghasilkan lirik yang baik.

“Tiada masalah pun kalau kita nak perbetulkan penggunaan bahasa Inggeris seseorang itu cumanya janganlah sampai memalukan dirinya.

“Adakalanya pekerja saya juga buat kesilapan dalam bahasa Inggeris. Kalau kesilapan sama berlaku beberapa kali, saya akan panggil pekerja itu dan tegur secara peribadi,” ujarnya.

Joe berkata demikian ketika sesi sidang media secara virtual ‘Start Your English Journey with Joe Flizzow’ yang juga aplikasi SOLS Edu yang menawarkan program pembelajaran yang merangkumi kemahiran Asas Bahasa Inggeris Untuk Pekerjaaan (Work Essential English) baru-baru ini.

Istilah ‘grammar nazi’ merujuk kepada seseorang individu mahir berbahasa Inggeris yang gemar membetulkan atau mengkritik kesalahan tatabahasa orang lain.

Ujar Joe, dia sendiri ada melakukan kesilapan dalam penggunaan bahasa Inggeris, terutama sekali ketika penulisan lirik dan ibu bapanya akan menegur kesalahan yang dilakukan.

“Saya dibesarkan oleh ibu bapa yang pernah bekerja sebagai penulis. Malah, ibu saya akan selalu memperbetulkan kesalahan bahasa Inggeris saya.

“Memandangkan saya selalu dengar lagu hip hop, kadang-kadang struktur bahasa dalam lagu yang saya tulis banyak silap. Jadi, ibu akan tegur tapi saya tak pernah rasa tersinggung,” jelasnya.

Dalam pada itu, menceritakan tentang aplikasi berkenaan, Joe berkata ia telah dibangunkan oleh SOLS Edu yang memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar untuk belajar bahasa Inggeris.

“Terdapat pepatah dalam dunia hip-hop, “Real recognise real“, dan saya mengiktiraf kerja yang telah dilakukan oleh SOLS Edu sepanjang 21 tahun lepas membabitkan 500,000 pelajar di 7 buah negara.

“Ketika saya bercakap dengan Pengasas-CEO SOLS 24/7, Raj Ridvan Singh, atau Teacher Raj (TR), sebagaimana yang beliau ingin dikenali, menjadi sangat jelas bahawa kami mempunyai matlamat yang sama dalam membantu orang muda mencapai potensi penuh mereka.

Ketika itu saya tahu bahawa bekerjasama dengan SOLS Edu dalam projek ini dengan memberi tunjuk ajar kepada pelajar menerusi aplikasi SOLS Edu adalah cara terbaik untuk saya menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Menurut Joe, aplikasi berkenan turut memberikan akses percuma dan kaedah pembelajaran yang teratur untuk belajar bahasa Inggeris.

Jelasnyan, aplikasi pembelajaran SOLS Edu menggunakan tutorial dalam bentuk video dan audio, kaedah suai padan gambar-perkataan, isi tempat kosong, dan latihan berbentuk pilihan jawapan untuk menjadikan proses pembelajaran bahasa Inggeris lebih bersifat pengembaraan interaktif.

“Aplikasi web progresif  ini telah dibangunkan sejak 6 tahun yang lalu dan mempunyai pelbagai versi, sentiasa meletakkan matlamat untuk membantu setiap rakyat Malaysia mampu menguasai Bahasa Inggeris di tempat kerja daripada kemudahan peranti digital mereka,” jelasnya. -SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button