NasionalNegeri

MAIPs salur RM3.06 juta Bantuan Mikro Baik Pulih Kediaman

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan peruntukan sebanyak RM3.06 juta untuk tujuan Bantuan Mikro Baik Pulih Kediaman yang diagihkan melalui kariah-kariah masjid seluruh negeri Perlis sepanjang tahun 2023.

Simbolik sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program Hijrah Minda anjuran MAIPs di Masjid Nur Husna Wang Kelian, petang tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif MAIPs dalam usaha bagi mempertingkatkan lagi keselesaan golongan sasar selari dengan Pelan Strategik MAIPs 2021-2025 yang sedang melalui fasa pengukuhannya.

MAIPs sentiasa menyedari akan tanggungjawab dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan melalui pengurusan agihan zakat yang sempurna dan mencapai sasarannya.

Penyerahan tersebut disampaikan oleh Tuanku Pemangku Raja kepada Pengerusi Masjid Nurul Husna Wang Kelian, Ustaz Norhamizi Yaacob yang mewakili 102 Kariah Masjid di seluruh Negeri Perlis.

Pada majlis berkenaan juga turut disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra sumbangan berjumlah RM200,000 bagi aktiviti Bahagian Pendidikan JAIPs untuk tujuan pelaksanaan program-program peningkatan kemahiran dan potensi guru serta Pegawai di JAIPs yang diserahkan kepada Najmuddin.

Selesai program tersebut Pemangku Raja Perlis juga meluangkan masa meninjau
sempadan Wang Kelian dan Wang Prachan, Thailand dari sebelah Malaysia, Kompleks Arked Niaga Wang Kelian yang sedang dinaiktaraf, Wang Kelian View Point dan juga Pekan Padang Besar. – SM

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button