Rencah Hidup

Kuah laksa “Abang Laksa” power!

“ABANG Laksa”, itulah jejaka yang telah memecah tradisi apabila makanan yang sekian lama kepakaran memasaknya didominasi oleh kaum wanita kini sebagai sumber rezekinya.

Gelaran ini juga diperoleh ketika berniaga laksa di Kolej Dahlia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau.

Mustakim atau “Abang Laksa” sibuk melayan pembeli laksa di pasar malam Kampung Jarak di Bintong.

Menceritakan bagaimana beliau memilih untuk menjual laksa, Mohd Mustakim Hashim, 31, dari Jalan Raja Muda, Kangar berkata, segalanya bermula apabila beliau terfikir untuk mengkomersialkan resepi yang diwarisi daripada arwah mak saudara.

Idea itu datang ketika beliau sedang mencari-cari jenis perniagaan yang sesuai setelah pulang dari merantau selama beberapa tahun di ibu kota.

“Mak saudara biasanya akan menyediakan laksa pada setiap kali hari raya. Menu inilah sebenarnya menjadi tarikan sehingga rumah arwah padat dengan kunjungan ahli keluarga dan sahabat handai,” katanya ketika ditemui wartawan SUARA MERDEKA di Pasar Malam Kampung Jarak, Bintong.

Sekalipun anak muda yang peramah ini mengakui sebelum “mencuba” resepi laksa arwah mak saudara, beliau memang bukan penggemar laksa. Tidak suka makan laksa tetapi selepas itu, beliau adalah penggemar tegar laksa.

KUAH laksa “Abang Laksa” adalah resepi arwah mak saudaranya yang akhirnya menjadi sumber rezeki anak muda bernama Mustakim.

“Agaknya disebabkan beberapa kali mencuba kuah laksa dari resepi arwah, sejak itu saya menjadi peminat laksa tegar,” ujarnya.

Beliau tidak menyangka laksa dari resepi arwah mak saudara telah mendapat sambutan ramai.

“Walau pada mulanya ketika berniaga, ada pelanggan yang bertanya bagai tidak percaya saya membuat sendiri kuah laksa, tetapi setelah membeli mereka kembali sebagai pelanggan tetap,” katanya.

Mustakim memberitahu, biasanya beliau hanya menggunakan ikan temenung (kembung) sebagai kuah laksa.

“Sekalipun harga ikan kembung kini melambung tinggi sehingga RM16 sekilogram (kg) tetapi saya tetap membelinya untuk membuat kuah laksa,” ujarnya.

Kata Mustakim lagi, biasanya beliau akan menggunakan 10 kg ikan untuk direbus dan dibuat kuah laksa pada sebelah pagi sebelum menjualnya di pasar malam.

“Saya jual sebungkus laksa pada harga RM6 sahaja. Sejak Ramadan lalu, saya mula memilih untuk berniaga di pasar-pasar malam sekitar Kangar dan juga Arau,” jelasnya.

Katanya, ini kerana beliau mahu “Abang Laksa” lebih dikenali bukan saja di dalam kawasan kampus sahaja.

Beliau berpuas hati kerana setakat ini laksanya berjaya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari orang ramai termasuk pelanggan ulangan. – SM

BACA Kembara sehari ke Satun puas dapat menikmati makanan unik

BACA Pelanggan rambang mata di Gerai Kuih Bajet

(Visited 303 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button