
Inovasi Penghadang Polimer Mampu Selamatkan Nyawa Penumpang
MALAYSIA disaran beralih kepada penggunaan penghadang jalan yang lebih selamat dan inovatif seperti jenis polimer, bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan jalan raya, khususnya membabitkan kenderaan berat.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd Fa’iz Ahmad berkata, penggunaan penghadang jalan jenis besi seperti yang banyak digunakan ketika ini, dilihat menjadi antara penyebab utama kematian apabila berlaku pelanggaran.
“Jika kita lihat tragedi nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik baru-baru ini yang mengorbankan 15 nyawa, kita boleh lihat bagaimana penghadang jalan jenis besi telah menembusi bahagian bas.
“Ini menunjukkan keperluan untuk kita kaji dan ubah kepada penghadang yang lebih selamat seperti polimer yang mampu menyerap hentakan dan tidak membunuh,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Reka Bentuk Baharu: Sistem ‘Roller Barrel’ Kurang Impak
Menurut Dr. Fa’iz, antara contoh inovasi yang boleh diadaptasi di Malaysia ialah penggunaan penghadang jalan jenis polimer dengan sistem ‘roller barrel’ – iaitu penghadang yang dilengkapi mekanisme penggelek untuk menyerap impak dan membimbing arah kenderaan.
“Apabila berlaku pelanggaran, sistem ini akan mengurangkan hentakan secara berkesan, sekali gus mampu menyelamatkan nyawa. Ia telah digunapakai di beberapa negara seperti China dan United Kingdom,” jelas beliau.
Teknologi Wajib: Tali Pinggang, GPS dan Speed Limiter
Mengulas lanjut aspek keselamatan, Dr. Fa’iz menyarankan supaya penggunaan tali pinggang keledar diwajibkan sepenuhnya pada semua tempat duduk dalam bas, selain pemasangan sistem GPS dan ‘speed limiter’ bagi mengehadkan kelajuan.
“Sebenarnya Malaysia sudah mula laksanakan perkara ini sejak 2020 bagi bas keluaran baharu. Sistem ini akan mengekang kelajuan melebihi had dengan memutuskan pecutan atau mengehadkan kuasa enjin,” tambahnya.
Kamera Papan Pemuka & CCTV Tingkat Disiplin Pemandu
Dr. Fa’iz turut mengesyorkan penggunaan dashcam serta CCTV di dalam dan luar kenderaan bagi memantau tingkah laku pemandu dan penumpang, serta menjadi bukti kukuh sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.
“Kamera bukan sahaja untuk keselamatan, tetapi juga untuk mendidik pemandu supaya lebih berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.
Martabatkan Pemandu Bas Sebagai Kerjaya Profesional
Dalam masa sama, beliau menyarankan agar kerjaya pemandu bas diberi pengiktirafan sewajarnya – bukan lagi dibayar mengikut bilangan perjalanan semata-mata, tetapi dengan gaji tetap dan manfaat yang lebih menyeluruh.
“Pemandu bas membawa nyawa. Sudah tiba masa kita angkat martabat kerjaya ini dan beri ganjaran yang setimpal. Mereka perlu dilihat sebagai golongan profesional,” tegas beliau.