Nasional

Inisiatif pemilikan rumah diteruskan melalui jaminan pembiayaan perumahan hingga RM5 bilion

Program Skim Rumah Pertamaku (SRP) telah diumumkan semasa Belanjawan 2011 yang lepas bagi membantu  golongan muda untuk memiliki rumah pertama.

Yuran jaminan kepada Cagamas ditanggung oleh Kerajaan dan Cagamas menyediakan jaminan supaya pembeli rumah mendapat amaun pinjaman yang lebih tinggi daripada institusi kewangan.

Sepanjang tempoh pelaksanaan program SRP, sebanyak RM19.9 billion nilai pembiayaan telah memberi manfaat kepada 86,708 peminjam.

Namun begitu, tarikh tutup permohonan Skim Rumah Pertamaku (SRP) telah ditetapkan pada 31 Mac 2023.

Walaupun program SRP ini tidak diteruskan pada tahun 2023, Kerajaan melalui Belanjawan Madani 2023 telah bersetuju untuk meneruskan pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Ia merupakan salah satu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Kewangan pada tahun 2022.

Dalam pengumuman Belanjawan MADANI 2023, Kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad telah bersetuju menyediakan jaminan pembiayaan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sehingga RM5 bilion nilai pinjaman yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 peminjam yang memerlukan.

SJKP merupakan program yang menawarkan pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan ekonomi gig.

Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 16,808 peminjam telah menerima manfaat dengan nilai pinjaman RM2.32 bilion daripada pelaksanaan SJKP ini.

Justeru, pemohon yang tergolong dalam kumpulan sasaran yang terlibat di bawah SRP, masih boleh mendapatkan pembiayaan melalui SJKP ataupun Institusi Kewangan.

KPKT akan terus menyokong usaha membantu peminjam mencapai impian pemilikan rumah selari dengan aspirasi dan keprihatinan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Justeru, inisiatif ini akan membolehkan profil pembeli B40 dan M40 lebih kompetitif untuk mendapat tawaran pembiayaan rumah daripada institusi kewangan. – SM

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button