Ekonomi

Kuala Lumpur Bike Show 2023 tampilkan Hujan dan Bon Zainal

‘Kuala Lumpur Bike Show 2023’ (KLBS ’23) yang julung kali diadakan dengan sukacitanya mengumumkan dua program gaya hidup yang akan berlangsung sepanjang pameran empat hari pada bulan Ogos.

Pengarah Moventuum Sdn. Bhd., Farouk Nurish berkata, KLBS 2023 adalah pertunjukan yang mewakili budaya bermotosikal di Malaysia secara holistik.

Katanya, ia termasuk elemen gaya hidup seperti fesyen dan muzik.

“Jadi hari ini, kami sangat gembira untuk mengumumkan kerjasama dengan pereka fesyen terkenal Malaysia, Bon Zainal, dan empat pereka fesyen lain bersama-sama dengan konsert kedua kami yang menampilkan kumpulan
popular Hujan untuk menekankan elemen gaya hidup di pameran KLBS’23 nanti,” katanya dalam kenyataan.

Konsert kumpulan rock indie Hujan di KLBS’23 merupakan persembahan solo pertama kumpulan tersebut di Malaysia tahun ini. Ia akan diadakan pada 25 Ogos 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala  Lumpur.

Teruja untuk membuat persembahan buat peminat mereka yang lebih dikenali sebagai Raingers, Hujan berkata

“Kami telah membuat persembahan di banyak festival di negara ini sepanjang tahun. Tetapi kali ini ia merupakan persembahan solo kami.

“Bagi para Raingers yang mungkin terlepas persembahan kami sebelum ini, jangan ketinggalan kali ini. Datang dan saksikan kami secara langsung di KLBS’23.”

Jualan tiket untuk konsert Hujan akan bermula dalam talian pada hari Jumaat ini, 29 Julai 2023 pada jam 10 pagi oleh Moventuum melalui laman sesawang MyTicket Asia.

Komponen gaya hidup lain KLBS’23 ialah pertunjukan fesyen yang dikendalikan oleh maestro pakaian lelaki Malaysia, Bon Zainal.

Bertemakan ‘Wheels on Heels’, Bon Zainal diilhamkan oleh pertumpuan dua industri iaitu industry fesyen dan industri kenderaan dua roda, untuk pertunjukan fesyen yang disusun rapi untuk KLBS’23 ini.

Pertunjukan ini akan menampilkan pelbagai koleksi pereka tempatan termasuk Emri Vision, Blackout oleh Rasta, Ghadeez, dan Bon Zainal sendiri, yang kesemuanya turut hadir pada majlis media di Butik Bon Zainal di
Plaza Damas di sini hari ini.

Bon Zainal berkata, “Apabila kita bercakap tentang pertunjukan fesyen, semuanya berpunca daripada kerjasama yang hebat. Bagi ‘Wheels on Heels’, ia bukan sahaja kerjasama antara lima pereka tempatan termasuk saya sendiri, malah gabungan dua industri.

“Hakikatnya semua orang menggayakan diri mereka dari saat mereka bangun tidur; jadi, sentiasa ada elemen gaya hidup dalam setiap industri.

“‘Wheels on Heels’ ialah pameran pakaian jalanan sedia untuk dipakai yang sesuai dengan semua orang di dalam dan di luar dunia bermotosikal. Bekerjasama dengan KLBS’23 juga merupakan cara terbaik untuk  empromosikan pereka tempatan berbakat Malaysia.

“Jadi, mari kita ‘sapot lokal’ dan hadir ke pertunjukan fesyen ini serta viralkan di media sosial.”

Dianjurkan oleh Moventuum Sdn. Bhd. dan Majalah RodaRoda (Bayu D Enterprise Sdn Bhd), KLBS’23 akan menjadi pameran pertama seumpamanya di Malaysia yang menampilkan industri dua roda semata-mata. Untuk maklumat lanjut, layari www.kualalumpurbikeshow.com. – SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button