Nasionalpilihan

Harga nasi putih masih kekal RM2 sepinggan

Kebanyakkan peniaga restoran di Plaza Mahkota, Banda Hilir, Melaka dekat sini masih mengekalkan harga lama nasi putih RM2 hingga RM2.50 sepinggan disebalik kenaikan harga beras import.

Mereka menyifatkan kenaikan harga beras import antara RM4 hingga RM5 untuk 10 kilogram (kg) tidak membebankan sehingga terpaksa menaikkan harga nasi putih sepinggan.

Tinjauan SM mendapati kebanyakkan restoran di kawasan tumpuan pelancong ini masih mengekalkan harga nasi putih antara RM2.00 hingga RM2.50 sepinggan.

Pengusaha Restoran 35, Norhayati Baharom, 48, berkata, tiada sebarang kenaikan harga nasi putih setakat ini walaupun beras import yang dibelinya mengalami kenaikan daripada RM32 kepada RM36.60 untuk 10 kg.

Norhayati Baharom.

“Setakat ini saya tidak bercadang nak naikkan harga nasi putih biarlah kekal dengan harga RM2 sepinggan.

“Walaupun harga beras import yang dibeli naik RM4 tetapi kenaikan harga itu tidak membebankan hingga memaksa saya terpaksa naikkan harga nasi putih.

“Tetapi jika beras import mengalami kenaikan hingga mencecah RM8 untuk 10 kg ada kemungkinan saya cadang nak naikkan nasi putih kepada RM2.50 sepinggan,” ujarnya di sini hari ini.

Bagi pemilik Restoran Asam Pedas Hajjah Ruhana, Hashim Mohd., 69, pula berkata, nasi putih di premisnya juga turut kekal dengan harga yang sama iaitu RM2 sepinggan.

Hashim Mohd.

“Memang benar beras import yang saya gunakan naik dari RM31 kepada RM36 tetapi ini tidak menyebabkan perlunya harga nasi putih dinaikkan.

“Saya rasa setakat ini harga RM2 adalah memadai dan saya harap kenaikan beras import tidak mengalami kenaikan lagi selepas ini,” ujarnya.

Namun katanya, jika beras import terus meningkat naik dan tidak dapat dikawal ada kemungkinan restorannya akan menaikkan nasi putih sebanyak 50 sen.

Bagi pengusaha Restoran Asam Pedas TJ, Abdul Jalil Achin, 64, pula berkata, dia tidak bercadang menaikkan harga nasi putih yang kekal pada harga RM2 hingga RM2.50 sepinggan.

Abdul Jalil Achin.

“Memang benar beras import yang saya gunakan mengalami kenaikan daripada RM27 hingga mencecah RM39.80 untuk 10 kg tetapi ia masih belum memaksa perlunya nasi putih dinaikkan harga,” ujarnya. – SM

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button