Ekonomi

Inisiatif JaminKerja sasar 500,000 peluang pekerjaan – Tengku Zafrul

MENGAMBIL semangat berkonsepkan jaminan kerja atau jobs guarantee, inisiatif JaminKerja menyasarkan hampir 500,000 peluang pekerjaan dapat dicipta kepada pencari kerja.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, agensi LAKSANA di bawah kementeriannya akan mengelolakan MySTEP  iaitu program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tahun ini.

Beliau berkata, kementeriannya juga memperuntukkan RM1.7 bilion untuk pelaksanaan program tersebut dan menyasarkan 80,000 daripada 600,000 pekerjaan yang boleh dimohon secara dalam talian.

“Tahun ini, selain memikul tanggungjawab sebagai Sekretariat NEC, agensi LAKSANA di bawah MOF juga mengelolakan MySTEP.

“Untuk tahun 2022 ini, kita ada sasaran. Pada tahun 2021 kita berjaya menempatkan lebih 63,000 graduan di mana 66% ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, pencari kerja harus memanfaatkan segala peluang yang ada melalui MOF dan Kementerian Sumber Manusia.

“Tidak kira sama ada melalui karnival seperti hari ini atau pun secara dalam talian melalui portal-portal seperti MyFutureJobs, MySTEP dan UpSkillMalaysia, pekerjaan ada untuk pencari kerja,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Zafrul berkata, kadar pengangguran  pernah capai tahap tinggi iaitu 5.6 peratus dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020.

“Pertumbuhan KDNK memulih kepada 4.2 peratus pada Disember 2021 lalu dan sepanjang suku keempat, bilangan penyertaan dan tenaga buruh kedua-duanya terus meningkat susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan waktu operasi yang lebih panjang dalam pandemik Covid-19.

“Sepanjang tahun 2021, aktiviti perniagaan mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dengan jumlah perdagangan luar yang melebihi RM2 trilion serta jualan borong dan runcit yang mencecah RM1.3 trilion,” katanya.

Sehubungan itu, keyakinan pelabur asing terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia juga jelas kelihatan dengan jumlah pelaburan langsung asing atau FDI melebihi RM50 bilion bagi tahun 2021, jelas beliau.

Zafrul berkata, aliran masuk bersih pelabur asing bagi pasaran bon tempatan melebihi RM30 bilion dan ini merupakan nilai tertinggi berbanding tahun-tahun pra-pandemik Covid-19. – SM

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button