Politik

“Kami sudah berusia, masa tidak lama, namun semangat perjuangan masih marak”

“KAMI sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi.”

Itu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulangtahun kedua kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

“Dua tahun lepas, kami tidak berputus asa membawa suara rakyat. Hari ini juga sama. Kami telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi rakyat.

“Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya.

“Jangan sesekali kita lupakan tarikh keramat 9 Mei 2018. Tarikh jatuhnya institusi kleptokrat. Tarikh kemenangan rakyat. Tarikh lahirnya Malaysia Baharu,” kata mereka.

Ahli Parlimen Langkawi dan Port Dickson itu berkata, tarikh 9 Mei dianggap sebagai bermakna dalam sejarah demokrasi negara.

Tarikh tersebut menurut mereka, menyaksikan perjalanan hampir 15 juta rakyat Malaysia dari setiap pelosok negeri hingga ke seberang lautan, tanpa mengira kekangan hari bekerja telah menzahirkan suara mereka dalam undi untuk bangkit mempertahankan maruah negara.

Menurut mereka, mandat tersebut telah dikhianati pada Februari tahun ini ketika wabak Covid-19 sedang melanda negara.

Dr. Mahathir dan Anwar berkata, mereka tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional yang disifatkan sanggup berbuat apa sahaja untuk mengumpul kuasa.

“Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat. Ia tidak diperolehi secara sah menurut kertas undi di dalam pilihanraya.

“Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satupun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini,” kata mereka.

Pada 9 Mei 2018 Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Kerajaan Pakatan Harapan hanya mampu bertahan selama 22 bulan apabila beberapa Ahli Parlimen Bersatu diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar daripada gabungan tersebut pada Februari lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan menjadi semakin goyah apabila beberapa Ahli Parlimen PKR yang diketuai bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Azmin Ali bertindak keluar parti.

Kedudukan PH sebagai Kerajaan Persekutuan kemudian roboh apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 sekaligus menyaksikan Kabinet yang dianggotai Ahli Parlimen Pakatan Harapan terbubar.

Kumpulan Muhyiddin dan Azmin kemudian membentuk kerjasama dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional, Pas dan parti-parti politik Sabah dan Sarawak di bawah Perikatan Nasional.

Muhyiddin kemudian dipilih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpuas hati Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.-SM

 

(Visited 413 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button