Hiburan

Usia bukan penghalang: Hanan ok jadi pelakon tambahan

TUAH pada nama “Kak Kiah” sekalipun hanya muncul beberapa kali dalam drama bersiri “Ayahanda” dalam slot Lestary TV3 tetapi penampilan watak kali ini tiba-tiba menjadi sebutan ramai.

“Kak Kiah” telah melonjak nama Noor Hanan Hassan  atau lebih mesra dengan sapaan Hanan sekalipun telah lebih 20 drama dia berlakon tetapi watak kali ini menjadi bualan netizen di media sosial.

Aksi Hanan dalam salah satu lakonannya.

“Walaupun saya tanpil sebagai pelakon tambahan, pengarah drama ini  Datuk Ahmad Tarmimi Siregar tidak lokek berkongsi ilmu kerana mahukan saya berjaya menjiwai watak “Kak Kiah”,” kata Hanan yang berusia 56 tahun.

Menurut Hanan, ilmu lakonan yang diperoleh digunakan sebaik mungkin dan beliau tidak menjangka watak “Kak Kiah” mendapat perhatian penonton drama.

Beliau berterima kasih di atas kepercayaan pihak produksi Zeel Production yang memberinya peluang berlakon dalam drama yang diadaptasi dari novel, Allahyarham Azizi Haji Abdullah.

Kata Hanan, nawaitunya menerima watak sebagai “Kak Kiah” bukan kerana mahu mengejar populariti sebaliknya tawaran yang diberikan adalah disifatkannya sebagai rezeki.

Maklumlah, di zaman mudanya Hanan mengakui beliau lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang seni tarian tradisional dan peragaan.

Kata Hanan lagi, beliau masih bertugas sebagai jurulatih tari di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.

“Orang lain mula berlakon pada usia muda, sekurang-kurangnya pada usia 20-an tetapi saya pula berbeza. Mula gigih berlakon pada usia 50-an,” katanya.

Hanan bersama pelakon lain dalam satu babak dalam drama yang dilakonkan.

Hanan sekali lagi menegaskan, beliau tidak kisah walaupun sekadar muncul sebagai pelakon tambahan namun apa yang penting, setiap watak yang diberi dilakonkan sebaik mungkin.

Kata Hanan, satu kelebihan apabila dirinya menjadi pelakon ialah beliau sendiri peluang bertemu dengan pelakon-pelakon hebat untuk berkongsi pengalaman memandangkan dirinya masih hijau dalam dunia lakonan.

“Saya sedar tidak mungkin di usia ini saya akan diberi watak utama tetapi sekurang-kurangnya di Perlis, masih ada pelakon berbakat yang boleh diketengahkan walaupun di usia senja,” katanya berseloroh.

Kini wajahnya semakin kerap muncul di kaca televisyen dan antara drama lakonannya yang telah pun disiarkan di Astro Prima berjudul “Hati Yang Dikhianati”.

Menjawab soalan wartawan SUARA MERDEKA, apakah beliau bercadang untuk berpindah ke Kuala Lumpur pada masa akan datang bagi memudahkan urusan lakonan, ini jawapannya:

“Sekalipun bidang lakonan ini nampak semakin berkembang, tidak pula terfikir untuk berpindah kerana saya lebih suka menetap di Perlis apatah lagi kebanyakan tawaran yang diterima membabitkan lokasi penggambaran di sini.”

Hanan memberitahu, beliau tidak memilih watak kerana yang penting menggalas watak yang dipertanggungjawabkan dengan bersungguh-sungguh supaya penonton dapat merasai keberkesanan watak yang dilakonkannya. – SM

(Visited 968 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button