Politik

Ini bukan kerajaan pintu belakang – Anwar

KERAJAAN yang didakwa bakal ditubuhkan tidak lama lagi bagi menggantikan Perikatan Nasional (PN) adalah bukan pintu belakang.

Ini kerana, pembentukannya adalah dikatakan sebagai mengikut peruntukan Perlembagaan dan dasar negara yang jelas.

Malah, ia juga dikatakan mendapat sokongan daripada pelbagai parti termasuk Barisan Nasional dengan majoriti yang lebih kukuh dan stabil.

“Ini bukan kerajaan pintu belakang, kami mendapat mandat dan sokongan dasar yang jelas.

“Saya tidak bercakap mengenai kelebihan empat, lima ataupun enam Ahli Parlimen yang menyokong, jumlahnya lebih daripada itu.

“Saya dapat senarai, ada Ahli-Ahli Parlimen daripada pelbagai parti dan saya fikir untuk saya umum hari ini, biar mereka menyusul dengan pandangan mereka.

“Sudah tentu gabungan ini turut disertai Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN).

“Jumlahnya nanti saya akan maklumkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kerana saya mahu menghormati kedudukan baginda sebagai orang pertama yang perlu dimaklumka terlebih dahulu.”

Kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Presiden PKR itu turut memaklumkan kerajaannya nanti akan melibatkan penubuhan gabungan baharu dan mengekalkan permuafakatan dengan rakan lama dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kerajaan ini mengambil kira pengalaman lalu, tetapi kerajaan ini yang akan membincangkan satu bentuk persefahaman ataupun permuafakatan baharu.

“Sudah tentu pembentukan kerajaan ini adalah dengan gabungan baharu dan saya sudahpun berbincang dengan rakan yang baharu termasuklah rakan sedia ada.

“Ini bukan mudah, kerana kita lakukannya sejak berbulan lalu, sekarang kita mempunyai sokongan yang muktamad dan akan diumumkan,”

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, menerusi gabungan baharu, mana-mana Ahli Parlimen yang bersetuju untuk menyertai harus menerima dasarnya.

Ini termasuklah mematuhi etika, integriti dan mengangkat kedaulatan undang-undang sebagai elemen penting kerajaan baharu nanti.

Malah menurut Anwar lagi, beliau yakin Parlimen tidak akan dibubarkan kerana kuasa pembubaran itu hanya boleh diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Keputusan untuk membubarkan parlimen adalah ditangan Yang di-Pertuan Agong, bukannya Perdana Menteri,” tegasnya. – SM

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button