Nasional

Amanah gesa tubuh suruhanjaya siasatan diraja siasat kartel daging

KERAJAAN digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu kesangsian daging import halal yang didkawa dikuasai oleh kartel.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, isu itu jika tidak ditangani boleh mencemarkan integriti dan kualiti label daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ini melibatkan soal syariat kita iaitu apabila makanan yang disangsikan label halal, ia boleh menimbulkan soal syariat iaitu halalan toyyiban.

“Aspek ini perlu diambil kira kerana melibatkan soal akidah, syariat dan tuntutan kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya,” katanya ketika membentangkan usul di Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) di Kuala Lumpur, hari ini.

Naib Presiden Amanah itu berkata, isu kartel itu turut mendedahkan pelbagai isu lain yang berkaitan rasuah, mendapatkan habuan tertentu dan lebih terutama kerapuhan pintu masuk negara.

“Kesangsian label halal ini mendedahkan isu kartel daging yang menguasai pasaran sejak sekian lama.

“Kartel ini melibatkan masalah lebih membarah merangkumi soal penyeludupan di pintu masuk penting keselamatan negara, rasuah, habuan tertentu dan salah guna label halal,” katanya.

Oleh itu katanya, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat agensi yang terlibat dari Jakim, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menuntut melalui penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Katanya, ini bagi menyiasat tahap keselamatan pintu masuk negara dan tahap integriti pelabelan halal Jakim bagi daging import serta mendedahkan rangkaian yang terlibat. – SM

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button