Jenayah

Ingkar PKPP: 10 direman, 10 dikompaun termasuk mencuba pakaian

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 20 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu 10 individu telah direman dan 10 lagi dikenakan kompaun.

Menurutnya, antara kesalahan termasuk aktiviti karaoke dan pusat hiburan keluarga (6), aktiviti dalam
pub atau kelab malam (8), mencuba pakaian di kedai pakaian (1) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (5).

Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 66,468
pemeriksaan semalam  bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Operasi itu melibatkan sebanyak 3,503 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan dengan
15,432 anggota.

Sementara itu,  PDRM telah berjaya menahan 14 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

PDRM telah membuat 60 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 38,474 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

Operasi Benteng melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Operasi itu mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19. -SM

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button