Rencah Hidup

Pokok daun kari berbunga, penanam gembira berganda

POKOK daun kari atau juga disebut ‘karipole’ biasanya ditanam untuk daunnya sebagai bahan tumisan mewangikan masakan gulai atau kari.

Tapi bila pokok yang ditanam ini mengeluarkan bunga berbau harum dan cantik tentunya ia memberikan kegembiraan berganda untuk penanamnya.

Lumrahnya pokok kari ini sangat jarang berbunga dan kalau berlaku ia memang satu yang luar biasa.

Penulis juga melalui pengalaman menarik ini selama beberapa kali.

Bagaimanapun apabila dikongsi perkara ini di laman Facebook (FB), kebanyakan memberi komen tidak pernah ada pengalaman pokok daun kari yang tanam berbunga.

Salah seorangnya, Lisa Said memberi komen, pokoknya dah lama ditanam tetapi setakat ini masih belum pernah mengeluarkan bunga.

Sari Intan Othman pula mendakwa pokok karinya telah berbunga bulan lepas dan setiap hari akan membeleknya.

Dalam komen netizen dalam grup berkebun di FB juga kebanyakannya masih menganggap pokok kari yang berbunga memang jarang berlaku.

Rata-rata menganggap ia sebagai rezeki kepada si penanam.

Ada yang mendakwa pokok kari ini akan mengeluarkan bunga dan buah jika telah tua.

Bagaimanapun, ada yang menolak andaian ini kerana baharu beberapa tahun menanam pokok kari tapi sudah berbunga.

Ada yang berkongsi pengalaman mengamalkan siraman air basuhan beras bukan sahaja melebatkan daun kari malah berbunga.

Lebih menarik, ada yang sudi berkongsi resipi bunga daun kari untuk dijadikan kerabu.

Caranya dengan mengambil bunga yang belum kembang, direbus dan tapis.

Kemudian bunga tadi digaul dengan bawang merah dipotong nipis, cili padi yang ditumbuk dengan belacan, kelapa parut dan garam.

Bagi yang pernah merasa pastinya tak akan melepaskan peluang membuat kerabu bunga kari yang dikatakan sangat enak. – SM

 

(Visited 2,774 times, 3 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button