Rencah Hidup

Tangan disuntik vaksin Pfizer masih sakit pada hari ketiga – Dr Amalina

SELEPAS pandemik Covid-19 melanda dunia, ramai yang ternanti-nantikan vaksin yang mampu menghalang penularan wabak tersebut.

Ketika ini, vaksin Sinopharm dan Pfizer yang menjadi tumpuan dunia dengan tahap keberkesanan yang tinggi dan negara memilih untuk mengambil vaksin Pfizer.

Vaksin tersebut telah pun mula disuntik kepada rakyat di United Kingdom dan personaliti terkenal, Dr Amalina Bakri antara yang sudah menerima suntikan pertama vaksin tersebut.

Berkongsi pengalamannya mengambil suntikan vaksin yang pertama, Dr Amalina memberitahu tangannya masih terasa sakit walaupun sudah memasuki hari ke tiga.

Namun menurutnya, hanya tangannya sahaja yang sakit tetapi tahap keseluruhan tubuh badannya tidak terganggu.

Namun, beberapa pengguna Twitter memberitahu yang kesan sakit tersebut adalah normal terutamanya melibatkan suntikan vaksin.

Malah, Dr. Amalina juga memberitahu perkara sama ketika tangannya mula sakit ketika hari pertama dia mengambil vaksin tersebut.

“Ketika mengambil suntikan itu, rasanya seperti digigit semut sahaja. Selepas sehari, tangan akan mula rasa sakit tetapi itu adalah sesuatu yang normal bagi mana-mana suntikan vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat pengguna Twitter yang memberitahu bahawa terdapat jururawat yang dijangkiti Covid-19 selepas mengambil suntikan vaksin Pfizer.

Dr Amalina memberitahu, vaksin Pfizer memerlukan dua kali suntikan untuk memastikan vaksin tersebut mencapai tahap maksimum dalam badan.

“Vaksin itu juga akan mengambil masa beberapa minggu untuk mencapai tahap tersebut. Jururawat tersebut hanya mendapat satu dos dan kemudian disahkan dapat Covid-19.

“Antibodinya belum lagi mencapai tahap yang penuh. Kemungkinan juga dia sudah dijangkiti sebelum dapat vaksin tetapi asymptomatic pada awalnya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Amalina turut menyarankan mereka yang sudah sembuh daripada dijangkiti Covid-19 untuk mengambil suntikan vaksin tersebut.

“Jangkitan semula boleh terjadi. Kita juga tidak tahu berapa lama seseorang yang sudah sembuh boleh dijangkiti Covid-19 semula.

“Apatah lagi imuniti semulajadi dalam tubuh daripada jangkitan Covid-19 juga adalah berbeza di antara setiap individu,” jelasnya. -SM

(Visited 881 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button