Nasional

Ingkar PKP: Kerajaan tidak campur tangan keputusan kehakiman

KERAJAAN tidak campur tangan dalam sebarang keputusan kehakiman terhadap pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) menjelaskan sesiapa yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang berkenaan akan didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

“Kerajaan tidak campur tangan dalam keputusan terhadap mana-mana individu yang dituduh (dan didapati bersalah) di mahkamah, itu adalah kebebasan dan budi bicara badan kehakiman untuk menentukan hukuman yang dikenakan.

“Mungkin fakta kes yang berbeza menyebabkan majistret memutuskan sedemikian rupa,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perbezaan hukuman yang dikenakan terhadap pesalah PKP.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia masih menjalankan tugas bersama namun kini lebih menumpukan pada penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Begitu juga dengan kawalan sempadan, masih berjalan seperti biasa dan diperketatkan dengan penubuhan pasukan khas yang menumpukan lorong-lorong tikus,” katanya.

Mengenai warga asing yang didakwa lari dari pusat kuarantin di Kuala Lumpur, Ismail Sabri menjelaskan polis akan menjejaki mereka seperti kes yang sama pernah berlaku di Selangor Mansion sebelum ini.

“Kita akan semak dari segi SOP, kalau SOP itu tidak ketat, kita akan perketatkan. insya-Allah Majlis Keselamatan Negara akan melihat perkara ini,” katanya.

Antara kes ingkar PKP yang terbaru ialah yang membabitkan anak Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya.

Mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajayakesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan telah didapati bersalah dengan masing-masing membayar denda RM800.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada 20 April lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas anak dan menantu Ahmad Zahid selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah. – BERNAMA

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button