Kesihatan

Informasi berkaitan kesihatan buah pinggang penting – Raja Muda Perlis

Penyebaran info berkaitan kesihatan buah pinggang adalah merupakan agenda penting. Medium penyampaian yang lebih berkesan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Ini adalah kerana penemuan kajian mendapati wujudnya jurang pengetahuan terhadap penjagaan buah pinggang yang amat ketara. Ianya diterjemahkan melalui tabiat pemakanan yang kurang sihat, kecergasan fizikal yang sekian terabai ditambahi dengan situasi COVID 19 yang membataskan pergerakan dan pelbagai faktor lagi.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri kempen ‘Perlis Hebat ; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bagi memperingati ‘Hari Buah Pinggang Sedunia’ yang disambut pada 10 Mac setiap tahun bagi memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya buah pinggang kepada manusia.

Program tersebut kali ini disekalikan dengan
majlis penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11,600 kepada seramai 29 orang asnaf terpilih yang mana masing-masing menerima RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Mustaqim, Seriab dekat Kangar untuk diagihkan oleh amilnya, Rosli Yob sempena program ‘Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 5 bagi tahun 2022’ semalam.

Mengiringi baginda ialah Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr Hazman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim berkongsi info bahawa tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua : Merapatkan Jurang Pengetahuan Untuk Penjagaan Buah Pinggang Yang Lebih Baik” menekankan peri pentingnya pengetahuan penjagaan kesihatan buah pinggang di dalam segenap lapisan masyarakat agar buah pinggang sentiasa sihat dan dapat berfungsi dengan baik.

Terang beliau, ‘Hingga kini, seramai 850 juta individu menghidap penyakit buah pinggang di seluruh dunia dan penyakit buah pinggang yang kronik adalah penyebab kematian keenam paling pantas dengan 2.4 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia’.

‘Kadar pesakit buah pinggang kronik di Malaysia turut meningkat dengan angka seramai 42,503 orang pada tahun 2017 dan berlaku peningkatan sebanyak 7,000 pesakit baharu setiap tahun. Pesakit yang menunggu pemindahan organ pula hampir mencecah 20,000 orang iaitu satu angka yang bukan sedikit’ jelas Sirajuddin.

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button