Nasional

Industri buluh perlu pendekatan radikal – Zuraida

PENDEKATAN yang radikal diperlukan bagi melonjakkan lagi pertumbuhan industri buluh di Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, transformasi industri buluh perlu dilakukan dengan mewujudkan suasana yang kondusif untuk peralihan daripada industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh yang bernilai tambah tinggi.

Serentak itu beliau melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 yang menekankan lima teras strategik.

Pelan tersebut melibatkan Pengukuhan dasar dan perluasan sumber; Peningkatan modal insan, Kepakaran dan kapasiti; Pengukuhan inovasi, teknologi dan penyelidikan, Pembangunan dan komersial; Pemerkasaan rantaian dan jaminan kualiti; dan Pengukuhan strategi pemasaran dan perkongsian pintar.

“Saya ingin menggesa agar semua pihak, khususnya yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri ini, untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan pembaharuan berlaku dalam rantaian
pengeluaran daripada industri huluan sehinggalah ke peringkat hiliran, baik dari segi penghasilan bahan mentah sehinggalah kepada penghasilan produk akhir.

“Dalam konteks ini, penghasilan produk buluh yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi perlu diutamakan melalui pembangunan inovasi dan teknologi yang terkini serta pemerkasaan modal insan.

“Aspek ini sentiasa dipupuk di kalangan semua pihak seperti usahawan, profesional, penyelidik, perekabentuk, penggubal polisi serta pihak-pihak lain yang berkaitan,” katanya.

Zuraida yakin melalui program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah sebagai sumber alternatif dalam
industri perkayuan.

Nilai eksport produk dan keluaran buluh dari Malaysia pada masa ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Bagi tahun 2020, nilai eksport produk buluh bernilai RM8.28 juta, menurun 10 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2019.

Malaysia masih bergantung kepada pengimportan produk buluh dari negara-negara lain seperti China, Indonesia dan Vietnam. Nilai import produk buluh bagi tahun 2020 adalah RM76.67 juta.

Pada masa kini, terdapat sebanyak 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang serta kraftangan.

Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh dan 45 daripada spesies tersebut merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan liar.

Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31% tanaman buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45% di Sarawak dan 24% di Sabah.

Di Semenanjung Malaysia sahaja, keluasan tanaman buluh adalah seluas 229,122.57 hektar.-SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button