Bola SepakSukan

Maguire enggan mohon maaf, pemain itu mendakwa digari, dipukul dengan baton

HARRY Maguire dengan penuh emosi berkata, dia benar-benar takut nyawanya berada dalam bahaya dan enggan memohon maaf dalam satu temu bual bersama pemain itu buat pertama kali sejak pergaduhan di Mykonos.
Kapten Manchester United itu ketakutan kerana menyangka dia akan diculik dan mendakwa, polis Greece telah menggari dan memukulnya dengan baton.
Harry yang selama ini berdiam diri, dalam nada tidak berpuas hati berkata kepada BBC: “Saya tidak melakukan sebarang kesalahan.”
Maguire memberitahu, polis yang berpakaian biasa telah memukulnya berulang kali dan mengejeknya “karier anda telah berakhir, tiada lagi bola sepak, anda tidak akan bermain lagi”.
“Saya menyangka kami akan diculik. Kami terpaksa melutut, sambil mengangkat tangan kami ke udara, dan mereka mula memukul kami.
“Mereka memukul kaki saya sambil berkata, karier saya telah berakhir. ‘Tiada lagi bola sepak. Anda tidak akan bermain lagi.
“Pada ketika itu, saya langsung tidak percaya mereka adalah polis atau siapa mereka, jadi saya cuba untuk melarikan diri, saya benar-benar panik, takut dan bimbang nyawa saya terancam. Sepanjang tempoh itu, saya berasakan demikian,” kata pemain berusia 27 tahun itu.
Harry turut mendedahkan kisah yang menakutkan apabila dia mendakwa dua lelaki telah mendekati adik perempuannya Daisy, 20, sewaktu berada di bar, yang mana insiden tersebut di dakwa rakan-rakannya telah mencetuskan kekecohan.
“Tunang saya Fern melihat wajah adik saya kelihatan sangat takut dan dia kemudiannya pengsan.”
Maguire berkata, dia cuba membawa adiknya itu ke hospital, tetapi telah ditahan polis, malah, menegaskan dia tidak akan memohon maaf di atas tindakannya itu.
“Saya tidak akan memohon maaf kepada sesiapapun. Anda hanya akan memohon maaf, jika anda melakukan sebarang kesalahan,” katanya.
Pertahanan England itu berikrar dia akan membersihkan namanya, selepas disabitkan bersalah ekoran terbabit dengan insiden pergaduhan di pulau Greece tersebut, minggu lalu.
Maguire didapati bersalah kerana mendatangkan kecederaan, cubaan merasuah, melakukan keganasan terhadap kakitangan awam, menghina dan turut menyerang dua anggota polis.
Maguire menafikan bahawa dia ada melepaskan sebarang tumbukan dan menolak dakwaan cuba merasuah polis sambil berkata “anda tahu siapa saya?”.
Ketika ditanya tentang dakwaan tersebut pemain itu menjawab: “Sudah pasti tidak. Sebaik saya melihat kenyataan itu, ia mengarut. Ia sangat teruk. Saya tidak akan sesekali terlibat dengan insiden seumpama itu sekali lagi.
“Saya berharap tiada sesiapapun mengharungi peristiwa seperti ini. Buat kali pertama, saya duduk di dalam penjara.
“Saya menyesal kerana mengheret peminat dan juga kelab berdepan dengan situasi seperti ini. Saya mendapati apa yang berlaku kepada saya, boleh sahaja terjadi kepada sesiapapun dan di mana sahaja mereka berada.”
Maguire menjelaskan, hati nuraninya cukup jelas dan semalam, peguamnya telah mengemukakan rayuan ekoran sabitan yang dikenakan ke atasnya.
Tindakan yang diambilnya itu adalah bagi membatalkan keputusan awal yang diputuskan mahkamah dan ini bermakna kes Maguire akan dibicara semula di mahkamah tinggi.
Bekas pemain Sheffield United, Hull dan Leicester, Maguire juga memberitahu, dia tidak yakin akan dikekalkan jawatannya selaku kapten United, tetapi berasa positif bahawa kebenaran akan didedahkan sewaktu perbicaraan semula nanti.
“Ia satu penghormatan dapat bermain untuk kelab ini, saya tidak kisah menjadi kapten. Ia bukanlah keputusan saya.
“Saya juga percaya sepenuhnya kepada undang-undang Greece, perbicaraan semula akan memberi kami peluang untuk membuat lebih banyak persediaan, mengumpul bukti dan membenarkan saksi di bawa ke mahkamah,” ujar Maguire yang turut digugurkan daripada skuad England.
Sementara itu, kenalan Maguire mendakwa pemain itu dan kumpulannya yang ditahan, minggu lalu, telah disambut oleh lapan lelaki bersenjata baton sewaktu mereka tiba di balai polis dekat Mykonos.
Pihak berkuasa enggan membenarkan bukti perubatan dikumpul pasukan perundangan Maguire yang mengandungi maklumat lebam di anggota tubuh pemain itu.
Rakaman telefon bimbit yang menunjukkan rakan Maguire berdepan dua lelaki Albania yang cuba menyuntik adik perampuannya, Daisy, 20, dengan dadah turut tidak dibenarkan dibawa ke mahkamah. – The Sun UK – SM

(Visited 55 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button